Pesta makanan pada Karnival Sumud Nusantara Malaysiaku Bersama Gaza tidak menjejaskan tumpuan orang ramai untuk terus bersolidariti terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza.
Bagi pengunjung, Noraini Ghani, 34, kewujudan gerai makanan di karnival itu lebih kepada memudahkan orang ramai yang hadir, khususnya keluarga dengan anak kecil.
“Saya kira pesta makanan tidak menganggu fokus kita kepada nasib yang menimpa rakyat Gaza di bumi Palestin.
Sambutan hangat
“Malah, saya datang sini kerana program tentang solidariti Gaza, bukannya pesta makanan.
“Namun, saya kira ini satu kemudahan kepada orang ramai yang datang, mereka yang bawa anak kecil untuk minum, itu sahaja,” katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.

Tinjauan Malaysiakini mendapati gerai yang disediakan mendapat sambutan hangat apabila pengunjung berpusu-pusu membeli makanan dan minuman sambil menunggu acara utama karnival bermula.
Malah, kelihatan juga ramai warga asing, khususnya dari Indonesia, turut bersama-sama menyertai majlis solidariti tersebut.
Bagi Mohd Sukri Abdullah, 38, pesta makanan sebenarnya menjadi tarikan yang membantu menarik lebih ramai pengunjung hadir ke acara berkenaan.
“Bagi saya mudah sahaja, walaupun mereka datang sebab makan, namun akhirnya mereka mendapat pemahaman mengenai Gaza.

“Saya rasa tiada isu dengan pesta makanan ini dan bukan bermakna kita tidak prihatin terhadap nasib saudara kita di sana,” katanya.
Mapim: Objektif utama solidariti Gaza
Sabtu lalu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan objektif utama Karnival Sumud Nusantara adalah advokasi, solidariti dan pendidikan rakyat Malaysia tentang isu Gaza.
Menurut Mapim, pesta makanan hanyalah salah satu elemen kecil dalam program yang lebih luas, bertujuan memudahkan pengunjung mendapatkan makanan dan minuman.

Selain itu, keuntungan daripada jualan pesta makanan juga akan disalurkan untuk membantu Gaza.
Gaza sedang kebulur – NGO
Bagaimanapun, sebelum ini penganjuran pesta makanan tiga hari bertemakan “solidariti Gaza” itu dikecam sebagai tidak peka, menjijikkan di kala rakyat Palestin berdepan kebuluran dan menuntut agar penganjur segera memohon maaf serta membatalkannya.
Gerakan Gabungan Anti-Imperialis (Gegar) mendakwa pesta makanan tersebut seolah-olah menjadi jalan mudah untuk opportunis mengeksploitasi penderitaan Palestin bagi meraih keuntungan, walaupun penganjur atau peniaga mungkin tidak berniat demikian.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad pula melihat pesta makanan sebagai sebahagian cara mereka menyokong Palestin.
Katanya, keuntungan daripada jualan akan turut disumbangkan kepada Gaza walaupun jumlahnya tidak dinyatakan.
“Tak jadi isulah bang, ini kemudahan untuk pengunjung dan ini juga sumbangan kecil kami kepada Palestin khususnya Gaza.
“Hasil keuntungan ini kami akan turut sumbangkan kepada tabung Gaza. Bermakna kita membantu mereka, bukan (pesta) untuk berseronok,” katanya.