Penganalisis melihat ketegasan PAS yang semakin meningkat dalam PN sebagai kesan semula jadi daripada keberadaan mereka yang lebih besar di Dewan Rakyat serta kemampuan akar umbi mereka berbanding Bersatu.
Bagaimanapun, pemerhati berpendapat, di sebalik kekuatan dan pengaruh PAS dalam kalangan pengundi Melayu, kekurangan sokongan daripada orang bukan Islam kekal menjadi penghalang terbesar kepada cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya.
Walaupun menghantar isyarat jelas bahawa PAS semakin bersedia mengemudi PN baru-baru ini, penganalisis memberitahu Malaysiakini, harapan parti itu untuk mentadbir negara mungkin bukan sekadar impian tidak kesampaian.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Mazlan Ali, berpendapat naratif Melayu-Islam dibawa PAS mungkin diterima baik di Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia.
Pun begitu, katanya, ia mungkin berdepan dengan penolakan di kawasan pilihan raya yang mempunyai pengundi campuran, selain di Sabah dan Sarawak.
“Sukar bagi parti itu untuk mendapatkan undi daripada masyarakat bukan Islam dan mencapai matlamatnya untuk membentuk kerajaan persekutuan kerana pengundi seperti itu akan menolak kepimpinan PAS,” katanya.

Semasa Muktamar PAS ke-71 baru-baru ini, parti itu meluluskan usul agar mereka memimpin PN menghadapi PRU akan datang. Ia juga ditegaskan sekali lagi oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, semasa sidang media selepas muktamar berakhir.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pula sekali lagi menekankan bahawa Islam adalah penyelesaian kepada segala masalah negara dan tiada mana-mana kaum atau agama yang akan dizalimi.
Sementara itu, profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri pula berpendapat PAS memang dilihat bersikap terbuka namun ia hanya “pada tahap tertentu”.
Keadaan itu, katanya, berpotensi menimbulkan kekangan kepada parti berkenaan.
“Amat sukar bagi PAS untuk meyakinkan orang bukan Islam untuk mengundi mereka, tetapi pada masa sama parti itu akan dapat mengekalkan momentum mereka dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya.
Dalam krisis terbuka
Tambah Syaza, PAS memang sedar satu-satunya cara untuk menguasai Putrajaya ialah dengan mendapat sokongan pengundi bukan Islam, tetapi pada masa sama mereka perlu mengekalkan kedudukan parti sebagai pejuang yang membela hak Melayu-Islam.
“Dalam erti kata lain, PAS tidak boleh membentuk kerajaan pusat bersendirian pada masa ini,” katanya.
Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berpandangan PAS berpotensi menggantikan Umno sebagai parti Melayu yang dominan di negara ini tetapi masih perlu berharap kepada sokongan parti bukan Melayu untuk kekal dalam arus perdana politik.
Katanya PAS tidak mendapat sebarang sokongan bukan Melayu walaupun memang hasrat mereka mahu begitu.

PAS juga, katanya Oh, berharap agar parti-parti bukan Melayu yang menjadi sekutu mereka mengumpul sokongan pengundi bukan Melayu.
Mengulas hubungan dengan Bersatu, Mazlan berkata, kedudukan mereka sekarang berpada pada “titik yang paling kontra” sejak PN ditubuhkan pada 2020.
“Mereka sudah ada krisis terbuka, saling kecam-mengecam antara parti, dan kita lihat ada perang mulut antara PAS dan Bersatu
Menurut Mazlan, PAS mempunyai kelebihan dari segi bilangan wakil rakyat yang lebih tinggi di Dewan Rakyat, lebih ramai ahli parti, serta akar umbi yang lebih kuat, manakala jentera Bersatu lemah dan tidak mempunyai ramai ahli.
“Jika berlaku pertembungan dalam kedua-dua parti ini, saya percaya PAS akan menang,” katanya.

Menurut Mazlan, dari sisi lain Bersatu juga memiliki kelebihan terutama dari segi pengalaman pemimpin parti itu yang boleh diketengahkan di peringkat nasional – suatu sektor yang dilihat sukar dikuasai PAS.
“Walaupun (pemimpin PAS) dakwa ada dua tiga lori pemimpin yang setara Anwar, ia sekadar cakap saja, tapi nak dibuktikan saya rasa susah,” katanya.
Oh pula berkata memandangkan banyak kerusi yang dimenangi Bersatu pada masa ini hasil bantuan jentera akar umbi PAS, adalah “sewajarnya” PAS mahu mengambil semula kerusi tersebut dan kepimpinan PN.
“Bersatu tersepit di antara PAS dari satu sisi, dan UMNO dari sisi lain. Parti itu berisiko tenggelam jika ia tidak mengambil langkah politik untuk mereka sendiri,” katanya.
Menzahirkan sentimen yang sama, Syaza berkata faktor trajektori dan identiti Bersatu yang jelas menyebabkan parti itu menjadi “tidak relevan”.

“PAS muncul di atas sebagai parti yang lebih kuat, yang secara teknikalnya (bermaksud ia) harus memimpin PN. Bersatu perlu membuktikan kemampuan mereka dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Jika tidak PN akan dikuasai PAS,” katanya.
Pada masa sama penganalisis percaya Bersatu bukanlah berdepan dengan jalan buntu.
Menurut Oh, parti itu mesti segera melepaskan pergantungan mereka kepada Muhyiddin dan pemimpin lama dengan membentuk generasi baru yang boleh berinteraksi dengan pengundi muda dan menawarkan imej yang lebih segar berbanding PAS.
“Sekurang-kurangnya, orang lama seperti Muhyiddin dan (Timbalan Presiden Bersatu) Hamzah Zainudin mesti berundur demi pemimpin baru yang boleh bercakap dengan lebih baik seperti (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,” katanya.