Malaysia Oversight

SMM dakwa gambar jet disebar sebagai tindakan balas kes mahkamah

By MkiniBM in July 21, 2025 – Reading time 3 minute
SMM dakwa gambar jet disebar sebagai tindakan balas kes mahkamah


Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) menafikan wujud salah laku selepas tersebarnya gambar menunjukkan para eksekutif tertingginya menaiki jet peribadi yang didakwa milik seorang taikun arang batu dari Indonesia.

“Dakwaan negatif berunsur salah laku yang dibuat dalam laporan media tersebut adalah palsu semata-mata, mengelirukan dan berunsur fitnah,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu memetik hasil siasatan dalaman pada Februari 2025 yang mengesahkan tiada sebarang konflik kepentingan, keuntungan peribadi atau pengaruh tidak wajar berlaku.

SMM, yang dimiliki sepenuhnya oleh negeri Sabah, menjelaskan bahawa ia bukanlah pihak berkuasa pelesenan, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan atau mengeluarkan lesen.

Sebaliknya, syarikat itu percaya penyebaran semula gambar yang diambil pada Ogos 2024 itu mungkin bermotifkan politik kerana berkaitan dengan tindakan undang-undang yang sedang berjalan terhadap bekas CEO mereka, Jontih Enggihon, dan ahli perniagaan Albert Tei.

“Tuduhan-tuduhan sekarang nampaknya mengulang isu yang sedang dibicarakan di mahkamah dan mungkin sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menjejaskan syarikat dan pegawainya,” kata SMM.

aca26db9236a23aed22a54ef3f4f2e49

Minggu lalu, satu gambar yang menunjukkan CEO SMM, Natasha Sim, setiausaha syarikat, Emily Chong dan taikun balak Sabah, Elbert Lim berdiri di sebelah jet tersebut menjadi tular.

Ia mendorong beberapa ahli politik Sabah mempersoalkan tujuan lawatan itu dan sama ada terdapat unsur rasuah serta konflik kepentingan.

“Apa hubungan istimewa antara Sim, Lim dan taikun Indonesia tersebut hingga layak menaiki jet peribadi yang menelan kos ratusan ribu ringgit?

“Tindakan ini menunjukkan konflik kepentingan yang serius dan mengandungi unsur rasuah serta salah laku yang jelas,” kata Warisan Tanjong, Justin Wong.

Lawatan pertama pada 2023

SMM menjelaskan bahawa lawatan kerja pertama mereka bersama pelabur asing yang berpotensi di Indonesia berlaku pada Mac 2023. Lawatan tersebut diatur oleh Jontih yang ketika itu masih memegang jawatan CEO SMM.

Jontih kemudian menjadikan amalan perlombongan syarikat Indonesia itu sebagai contoh baik untuk mencadangkan kerjasama rasmi kepada Lembaga Pengarah SMM.

Lembaga itu kemudiannya meluluskan kerjasama itu pada Februari 2024 dan melantik Sim, ketika itu Ketua Pegawai Strategi SMM, sebagai pegawai perantara utama bagi memudah cara perbincangan pelaburan langsung asing.

Gambar dengan jet peribadi itu diambil semasa lawatan susulan pada Ogos 2024 sebagai sebahagian daripada perbincangan pelaburan asing yang sedang berlangsung, jelas SMM.

Sebelum ini, susulan saman yang difailkan SMM terhadapnya, Jontih membuat laporan polis terhadap Sim dengan menuduhnya menaiki jet tersebut tanpa memaklumkan kepada pengurusan atau Lembaga Pengarah SMM.

d0504117817592e31c400874c0142b11

Dia mendakwa kos perjalanan tersebut dianggarkan RM400,000 dan melibatkan Sim, suaminya, Lim serta dua anak Lim.

Tindakan undang-undang

Dalam kenyataan hari ini, SMM menegaskan bahawa Sim dan Chong memberikan kerjasama penuh kepada siasatan SPRM selepas isu itu dilaporkan media, termasuk mengemukakan kenyataan terperinci dan dokumen berkaitan perjalanan tersebut.

Sementara itu, SMM memberi amaran kepada media, ahli politik dan orang awam supaya lebih berhati-hati serta menyemak fakta sebelum mengulangi dakwaan berunsur fitnah berkenaan isu itu.

“Sekiranya tuduhan tidak berasas ini terus disebarkan, SMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak — termasuk media, tokoh awam atau individu — atas dakwaan fitnah dan penyebaran maklumat palsu yang berniat jahat,” katanya.

[Baca berita asal]



Source link