Malaysia Oversight

Slovenia negara Eropah pertama hentikan perdagangan senjata dengan Israel

By TheSun in August 2, 2025 – Reading time 1 minute
Slovenia negara Eropah pertama hentikan perdagangan senjata dengan Israel


BRUSSELS: Slovenia menjadi negara pertama di Eropah yang menghentikan perdagangan senjata dengan Israel, termasuk import, eksport dan transit peralatan ketenteraan.

Keputusan itu diluluskan dalam mesyuarat kabinet Slovenia pada Khamis, menurut kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri Slovenia.

“Semua senjata dan peralatan ketenteraan yang dihantar dari Slovenia ke Israel, diimport dari Israel, atau melalui wilayah Slovenia akan diharamkan sepenuhnya,“ jelas kenyataan itu.

Langkah ini diambil sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, yang telah menyebabkan lebih 60,200 rakyat Palestin terkorban sejak serangan besar-besaran Israel bermula pada 7 Oktober 2023.

Slovenia turut mengutuk keras sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, menyifatkannya sebagai “penafian sepenuhnya terhadap bantuan kemanusiaan dan halangan sengaja terhadap syarat asas untuk kelangsungan hidup.”

“Hasil daripada tindakan ini amat memalukan; rakyat di Gaza sedang mati kerana bantuan kemanusiaan dinafikan secara sistematik kepada mereka,“ tegas kenyataan tersebut.

Slovenia juga mengumumkan akan mengambil langkah tambahan di peringkat nasional terhadap Israel dalam minggu-minggu mendatang. – Bernama, Anadolu



Source link