Malaysia Oversight

Skuad bola keranjang Malaysia rangkul kejuaraan antarabangsa selepas 14 Tahun

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
Skuad bola keranjang Malaysia rangkul kejuaraan antarabangsa selepas 14 Tahun


PETALING JAYA: Pasukan bola keranjang lelaki Malaysia mencipta detik bersejarah apabila menjuarai Kejohanan Jemputan Antarabangsa Heilongjiang ke-37 selepas menewaskan Habas University dari Rusia 82-78 pada aksi final.

Kejayaan itu menamatkan penantian panjang selama 14 tahun sejak kali terakhir pasukan negara bergelar juara di pentas antarabangsa pada tahun 2011, sekali gus mengembalikan semula kegemilangan bola keranjang Malaysia di mata dunia.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti jelas hasil daripada reformasi menyeluruh yang dijalankan sejak tiga tahun lalu, selain komitmen tinggi barisan jurulatih dan pemain kebangsaan.

“Kejuaraan ini adalah bukti bahawa kerja keras kita selama ini tidak sia-sia. Ia bukan sahaja satu penghormatan buat negara, tetapi juga sumber motivasi untuk kita terus melangkah lebih jauh,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Tian Hock menegaskan sasaran pasukan kini tertumpu kepada temasya Sukan SEA tahun ini, dengan matlamat utama untuk menghadiahkan pingat kepada Malaysia selepas sekian lama menunggu pencapaian membanggakan di peringkat serantau.

“Untuk Sukan SEA, sasaran kita jelas mahu membawa pulang pingat. Dengan semangat dan momentum kemenangan ini, saya percaya pasukan kita mampu mencipta kejayaan yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti menyokong skuad kebangsaan termasuk peminat, penaja, media dan seluruh warga bola keranjang negara yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan.

“Dorongan dan sokongan anda semua adalah kekuatan yang mendorong kami untuk terus mara. Saya yakin dengan perpaduan serta tekad bersama, bola keranjang Malaysia mampu melangkah ke tahap yang lebih gemilang,” ujarnya.

Kejayaan ini bukan sahaja mengembalikan semula kegemilangan bola keranjang Malaysia, malah menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu dalam usaha melahirkan skuad yang lebih mantap dan berdaya saing di pentas antarabangsa.-UTUSAN





Source link