Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memulakan siasatan terhadap Ketua Pemuda MCA Pahang Wong Siew Mun berhubung ulasan video di media sosial mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang kontroversi.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata Wong telah dihubungi oleh pegawai penyiasat MCMC pada 10.16 malam tadi.
Wee berkata semasa perbualan itu, pegawai suruhanjaya berkenaan meminta Wong untuk hadir disoal siasat di ibu pejabatnya di Cyberjaya pada 11.30 pagi hari ini.
“Saya difahamkan Siew Mun cuba minta pegawai penyiasat SKMM agar tunda tarikh tetapi pegawai tersebut memaklumkan bahawa beliau diminta oleh pihak atasan untuk membuat rakaman percakapan pada hari esok juga,” dakwa Wee dalam catatan Facebook malam tadi.
Dia juga mempersoalkan SKMM yang menurutnya tergesa-gesa untuk menyoal Wong, menekankan bahawa hari ini juga merupakan cuti umum sempena Hari Kebangsaan.
“SKMM, sila jawab apa yang ‘urgent’ sangat?” katanya lagi.
Menurut notis SKMM yang dilampirkan dalam siaran Wee, Wong sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengenai penyalahgunaan perkhidmatan dan kemudahan rangkaian.
Terdahulu pada bulan Jun, Wong telah disoal siasat dan telefonnya dirampas oleh polis selepas membangkitkan kebimbangan mengenai projek pengumpulan data mudah alih Putrajaya.
Wong sebelum itu mempertikaikan arahan SKMM supaya syarikat telekomunikasi menyediakan rekod terperinci tentang penggunaan telefon dan internet pengguna mereka.
Pada masa itu, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon menggesa kerajaan untuk “bertenang” terhadap kritikan awam dan bukannya menganggap pembangkang sebagai musuh mereka.
RUU PSB, yang bertujuan untuk mewujudkan Akta Pembaharuan Semula Bandar, berdepan kritikan hebat daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta orang ramai.
RUU itu dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk bacaan pertamanya di Dewan Rakyat pada 21 Ogos, dengan bacaan kedua telah berlangsung pada 28 Ogos.
Perbahasan dan pengundian rang undang-undang itu, bagaimanapun, telah ditangguhkan ke mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya pada Oktober, dengan menteri DAP itu memberi jaminan bahawa beberapa penambahbaikan kepada perundangan yang dicadangkan akan diperkenalkan.