Malaysia Oversight

SKMM – Fasa Pertama Program JENDELA 99.1 Siap Dibangunkan

By Amanz in January 28, 2026 – Reading time 2 minute
SKMM – Fasa Pertama Program JENDELA 99.1 Siap Dibangunkan


Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) adalah badan yang bertanggungjawab untuk memodenkan infrastruktur rangkaian internet Malaysia, dari aspek sambungan internet jalur lebar dan juga internet mudah-alih. Untuk ini, inisiatif JENDELA (Pelan Jalinan Digital Negara) telah diperkenalkan pada tahun 2020 untuk tujuan tersebut; memperbaiki rangkaian 4G sedia ada dan memperkenalkan rangkaian internet mudah-alih pantas 5G untuk kegunaan umum.

Baru-baru ini, pihak SKMM telah mengatakan bahawa dibawah program JENDELA fasa pertama, 99.1 daripada infrastruktur digital yang ditetapkan telah siap dipasang, dengan angka tersebut pada 1646, dimana 1618 daripadanya sudah mula beroperasi memancarkan rangkaian 2G dan 4G pada 31 Disember 2025. Pencawang-pencawang selebihnya dijangka siap didirikan menjelang penghujung suku pertama 2026.

Dengan pembangunan infrastruktur ini, pihak SKMM turut mengatakan bahawa rangkaian internet mudah-alih kini sudah berjaya meliputi sebanyak 9.81 juta premis di seluruh Malaysia, yang merupakan peningkatan mendadak daripada 4.96 juta premis sebelum inisiatif JENDELA dimulakan. Angka terbaru ini juga dilihat melepasi sasaran 9 juta premis yang ditetapkan dalam inisiatif JENDELA. Jangkaannya ialah lebih banyak lagi premis yang akan disambungkan ke rangkaian internet setelah pencawang-pencawang lain siap dipasang tidak lama lagi.

U Mobile SpeedTest

Didalam kenyataan yang sama, pihak SKMM turut mengatakan bahawa liputan internet di kawasan berpenduduk telah meningkat dari 91.8 peratus sebelum bermulanya inisiatif JENDELA ke 99.7 peratus pada penghujung tahun lepas. Dalam pada itu, kelajuan rangkaian internet jalur lebar mudah-alih juga telah meningkat ke 143.7 Mbps, juga melepasi sasaran kelajuan internet mudah-alih yang ditetapkan.

Semua ini berjaya dilakukan kerana pelan MOCN (Multi-Operator Core Network) yang bermakna bahawa semua syarikat telekomunikasi tempatan berkongsi pembangunan dan penggunaan infrastruktur rangkaian mudah-alih bersama-sama.

Dalam pada itu, pemodenan rangkaian internet tambahan juga telah dilakukan di banyak lokasi-lokasi lain. Ini termasuklah:

  • 34 ribu titik akses WiFi telah didirikan di 126 buah IPTA di seluruh negara
  • Kemudian gentian optik telah dipasang di 73 buah kem tentera di seluruh negara
  • Penambahbaikan liputan dan kapasiti rangkaian di 17 lokasi acara seperti Kuala Lumpur Convention Centre, Sepang International Circuit, SPICE Arena Penang dan Borneo Convention Centre Kuching.

Pihak SKMM turut mengatakan bahawa mereka akan memantau kualiti rangkaian-rangkaian ini, dan kelak apabila fasa 2 JENDELA bermula, fokus mereka akan beralih kepada memperluaskan akses ke kawasan berpenduduk jarang dan juga untuk koridor pengangkutan utama.



Source link