Kemungkinan wujud konflik antara kumpulan berpendapatan berbeza menjadi antara sebab Putrajaya memilih untuk memberikan subsidi petrol RON95 kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengambil kira kekuatan kantung mereka.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun perbincangan awal mengunjurkan bahawa penyasaran subsidi RON95 akan memberikan penjimatan sehingga RM8 bilion kepada kerajaan, kerajaan tidak mahu mengambil inisiatif yang akan menyebabkan pergeseran dalam kalangan rakyat.
Katanya kerajaan berpendapat mereka tidak boleh memulakan inisiatif yang boleh menyebabkan konflik atau yang tidak akan memberi banyak kesan kepada harga minyak dan harga barang.
“Selepas difikirkan, kita (kerajaan) buat anjakan daripada cadangan asal.
“Cadangan awal, umpamanya, (dilaksanakan penyasaran) melalui Padu dan sebagainya, akan menimbulkan banyak keresahan,” katanya dalam ucapan sempena himpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Penelitian dibuat kerajaan, kata Anwar yang juga menteri kewangan itu, ada individu yang memperoleh pendapatan bulanan sehingga RM18,000 tetapi mempunyai ramai anak dengan sebahagian daripadanya sedang belajar.
Dalam keadaan begitu, katanya, mungkin ada keluarga tertentu yang kehilangan manfaat subsidi petrol RON95 secara tidak adil.
Pertimbangan itu, kata Anwar, juga mungkin akan membawa kepada keresahan orang ramai.
“Justeru, asalkan kita boleh jimatkan belanja subsidi, saya pikir munasabah (untuk berikan subsidi kepada semua rakyat Malaysia),” katanya lagi.
Sebelum pelan subsidi bahan api semasa – yang dinamakan sebagai Budi95 – diperkenalkan, perdana menteri sering menegaskan bahawa golongan “mahakaya” tidak akan berhak mendapat subsidi bahan api sama seperti kumpulan rentan dan B40.
Dalam mewajarkan peralihan pelan tersebut, kerajaan menegaskan bahawa pemberian subsidi secara menyeluruh itu adalah langkah untuk mengiktiraf sumbangan rakyat Malaysia selama ini.
Awal minggu ini, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan juga mempertahankan keputusan Putrajaya memberi subsidi petrol RON95 kepada semua rakyat walaupun membawa kepada pengurangan unjuran penjimatan.
Menteri itu berkata, potensi penjimatan di bawah pelan Budi95 itu – yang bermula pada akhir bulan ini – hanya dianggarkan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion berbanding anggaran awal yang lebih tinggi, ia adalah lebih baik daripada tiada penjimatan langsung.
Semalam, setiausaha politik Anwar, Kamil Abdul Munim, berkata kumpulan T15 (kumpulan berpendapatan paling tinggi) mungkin akan tidak lagi mendapat akses kepada subsidi apabila fasa berikutnya dilaksanakan.
Anwar berkata hari ini, keupayaan kerajaan untuk melaksanakan program Budi95 adalah disebabkan dasar tadbir urus yang baik dan reformasi sistemik yang telah membantu dalam membendung ketirisan dan rasuah.
Dia juga menegaskan bahawa tidak semua negara mampu mengekalkan subsidi yang disasarkan kerana inisiatif sedemikian bergantung pada disiplin kewangan, ketelusan dan kawalan perbelanjaan yang betul.
“Jika kita lihat negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, harga bahan api sekarang jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia. Jadi, bagaimana kita mampu memberikan subsidi? Ini kerana tadbir urus kita yang baik,” katanya.
Dia juga jaminan bahawa skim Budi95 dipersiapkan untuk mengendalikan trafik yang lebih tinggi sehingga mampu mengendalikan kira-kira 30,000 transaksi seminit.
Di bawah skim Budi95, semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing boleh memohon kuota lebih tinggi.
Warga asing yang memandu kenderaan berdaftar tempatan pula perlu membayar harga pasaran untuk RON95, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter, manakala kenderaan berdaftar asing masih terhad kepada RON97.






