Malaysia Oversight

Siti Nurhaliza sukar ditukar ganti – M. Nasir

By Utusan in September 21, 2025 – Reading time 2 minute
Siti Nurhaliza sukar ditukar ganti - M. Nasir


KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir, 68, berpandangan kedudukan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam dunia muzik tanah air tidak boleh digantikan penyanyi lain.

Menurut beliau, kebolehan bintang tersohor itu tidak dimiliki mana-mana penyanyi justeru menjadikan Siti Nurhaliza terus relevan sehingga ke hari ini.

“Beliau adalah pakej yang sukar ditukar ganti. Dalam nyanyian, Siti Nurhaliza memiliki kemahiran tersendiri yang tidak boleh kita ketepikan.

“Apabila kita faham tentang teknikal nyanyian, kita dapat menilai. Beliau ada kemampuannya tersendiri.

“Kalau Siti Nurhaliza menyanyi secara live, kita dengar seperti rakaman. Itu kemampuan beliau,” katanya ketika sesi latihan konsert Cipta 3, di sini, baru-baru ini.

Penyanyi yang sinonim dengan gelaran sifu itu bagaimanapun merasakan impak yang dibawa penyanyi nombor satu negara itu kepada dunia muzik tempatan mungkin berbeza sekiranya beliau baharu muncul pada zaman sekarang.

“Dengan pakej yang beliau miliki, Siti Nurhaliza penyanyi yang paling menonjol ketika zamannya dahulu. Beliau membawa impak cukup besar pada permulaan kerjayanya.

“Tapi mungkin impak itu berbeza kalau beliau baharu muncul sekarang, bersaing dengan Ernie Zakri, Aina Abdul dan lain-lain lagi.

“Apa pun, setiap penyanyi itu ada kebolehan dan tona suara masing-masing. Bergantung kepada pendengar, sama ada mereka suka atau tidak,” katanya lagi. – UTUSAN

 





Source link