Sempena mengenang ulang tahun ke-100 Allahyarham Arena Wati, jurnal Svara dan kedai buku Riwayat menganjurkan program sehari yang sarat dengan pengisian pada Sabtu ini.
Bertempat di Muzium Telekom di Kuala Lumpur, Siri Syarah Kebudayaan anjuran Svara dan Kedai Buku Riwayat itu bakal menampilkan penulis dan penggiat saster yang akan berkongsi warisan kepengarangan dan intelektual Sasterawan Negara berkenaan, bertemakan Gelora Laut dan Tekad Anak Jantan: 100 Tahun Arena Wati.
“Pengunjung akan disajikan dengan syarahan utama yang akan disampaikan oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.
“Turut akan diadakan ialah dua forum yang akan mengetengahkan Arena Wati dan karya-karyanya dari sudut pandang pelbagai kelompok: pengkajinya, editor yang menangani naskhah manuskripnya, penggemar dan pembacanya,” kata Riwayat dalam kenyataan.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pameran karya Arena Wati, atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan Abdul Biang.

Acara itu akan berlangsung dari jam 10.30 pagi sehinga enam petang.
Menurut Riwayat, Siri Syarah Kebudayaan itu merupakan permulaan kepada usaha jangka panjang untuk meraikan tokoh yang giat dalam ranah seni, sastera dan intelektual.
“Program ini dibayangkan sebagai gerakan jangka panjang untuk memberi semula tempat yang sewajarnya kepada khazanah bangsa, menghidupkan semula tradisi wacana dan pemikiran, serta meraikan keragaman idea, seni dan budaya dalam bentuk yang sesuai dengan dunia hari ini.
“Dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, acara ini diharap menjadi titik mula kepada jaringan intelektual dan budaya yang lebih kukuh, inklusif dan berterusan,” kata Riwayat lagi.
Siri Syarah Kebudayaan yang julung kali diadakan itu turut mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Buku Darul Ehsan dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.






