RedMagic telah melancarkan siri 10S Pro di China. Model ini berbeza daripada siri bukan S sebelum ini kerana menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Leading Version yang telah dilewahjam untuk prestasi lebih tinggi. Terdapat dua model iaitu RedMagic 10S Pro dan RedMagic 10S Pro+ dengan perbezaan hanya pada kapasiti bateri dan pengecasan.

Selain itu, kedua-duanya mempunyai pelagak permainan PC Windows terbina yang boleh menjalankan pelancar Steam dan Epic Games sama seperti WinPlay daripada Xiaomi. Ia mampu memainkan permainan dengan kadar bingkai yang stabil. Model-model ini turut dilengkapi skrin 144 Hz dengan kecerahan maksimum 2000 nits dan nisbah skrin-ke-badan 95.3%. Ia juga mempunyai kamera swafoto bawah skrin 16 MP yang menggunakan algoritma AI untuk menghasilkan imej lebih jelas.

Peranti RedMagic 10S Pro hadir dengan sistem dwi-kamera 50 MP di bahagian belakang. Selain itu ia turut dilengkapi dengan pembesar suara stereo serta bicu audio 3.5mm. Dari segi bateri, model RedMagic 10S Pro+ menawarkan kapasiti 7500 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W. Manakala RedMagic 10S Pro pula hadir dengan bateri berkapasiti 7050mAh serta pengecasan 80W.