Siri Oppo Find X9 Akan Diperkenalkan Bersama Kit Fotografi Profesional Hasselblad
Amy Maizuraa
Selepas Xiaomi dan vivo, Oppo turut akan memperkenalkan kit fotografi tersendiri untuk telefon mercu baharu siri Find X9 akan datang. Perkara ini disahkan menerusi beberapa ciapan rasmi di Weibo yang turut memaparkan imej promosi untuk kit berkenaan.

Kit fotografi ini dibangunkan hasil kerjasama dengan jenama kamera terkemuka Hasselblad selaras dengan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua syarikat. Tidak mengejutkan, memandangkan mereka telah lama berganding bahu dalam pembangunan teknologi imej. Oppo turut menjanjikan peningkatan ketara dari segi prestasi dan pengalaman fotografi berbanding generasi terdahulu.

Kit fotografi ini merangkumi beberapa aksesori berbeza termasuk ‘teleconverter’ Hasselblad, pemegang magnetik dengan butang pengatup dan rekaan yang ergonomik, sarung pelindung magnetik serta tali bahu khas. ‘Teleconverter’ berkenaan turut membolehkan pengguna mencuba tahap zum yang berbeza manakala pemegang magnetik pula memberikan kawalan lebih selesa seperti kamera sebenar.

Menariknya, Oppo turut akan memperkenalkan aksesori tambahan berupa lampu LED Flash magnetik yang dikatakan sebagai pertama seumpamanya dalam industri. Ia menawarkan pencahayaan tambahan yang sangat terang dalam rekaan kompak dan mudah digunakan. Kesemua ini akan dilancarkan seiring dengan pengenalan Find X9 di China pada 16 Oktober 2025.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






