Singapura Haramkan Pelajar Sekolah Menengah Menggunakan Telefon dan Jam Tangan Pintar Bermula 2026
Effi Saharudin
Gerakan mengharamkan penggunaan telefon pintar dalam kalangan remaja meningkat mendadak tahun ini bermula di Australia sebelum di negara EU dan Malaysia. Di Singapura, kerajaan akan mengharamkan penggunaan telefon dan jam tangan pintar oleh pelajar sekolah menengah di luar waktu pengajaran.
Ini bermakna penggunaan kedua-dua peranti tidak dibenarkan ketika waktu rehat dan aktiviti ko-kokurikulum. Langkah drastik ini diambil bagi mengurangkan waktu penggunaan skrin dalam kalangan pelajar sekolah di republik Singa Selatan.

Telefon pintar perlu disimpan di dalam lokar atau beg sepanjang sesi persekolahan. Jam tangan pintar pula masih boleh dipakai tetapi pelajar tidak boleh menggunakannya bagi tujuan komunikasi atau mengakses aplikasi media sosial semasa sesi persekolahan masih berlangsung. Pihak sekolah diberikan kuasa untuk membenarkan pengecualian penggunaan telefon pintar apabila dirasakan perlu.
Langkah yang diambil Singapura ini mirip garis panduan yang diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Oktober lalu. Di Malaysia majoriti sekolah telahpun mengharamkan pelajar membawa telefon pintar bagi mengurangkan gangguan dalam kelas. Tahun depan pula pengguna bawah 16 tahun tidak lagi boleh mendaftar akaun media sosial baharu dengan pengesahan identiti dilakukan menerusi sistem eKYC.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






