Malaysia Oversight

Sindiket di KLIA: Bukan cakap kosong, tindakan diambil

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Sindiket di KLIA: Bukan cakap kosong, tindakan diambil


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 50 kes melibatkan sindiket penggelapan rekod keluar-masuk negara dikenali sebagai ‘pengembara hantu’ atau phantom travels.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu di parlimen hari ini.

Katanya, dua orang telah dituduh di mahkamah dan 48 lagi kes disyor untuk pertuduhan, siasatan dalaman serta siasatan tata kelola.

“Dalam kes ini, yang saya laporkan ini adalah tindakan yang telah diambil.

“(Ini) bukan cakap kosong, tak kira siapa, kita ambil tindakan,” kata Saifuddin ketika menjawab soalan tambahan ahli parlimen Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut-PN) yan bertanya tindakan terhadap individu yang terlibat dalam sindiket warga asing.

Malaysiakini sebelum ini membongkar sindiket pengembara hantu melibatkan kakitangan yang terbang ke luar negara tanpa butiran perjalanan mereka ditunjukkan dalam rekod imigresen

Difahamkan modus operandi mereka licik dan sukar dikesan jika tidak ada pengawasan rapi. Ini termasuklah berpakat dengan pegawai imigresen yang bertugas di kaunter.

a34179193cf84ef8c2a7a68f2d304a05

Terdahulu, ketika menjawab soalan Lee Chean Chung (Petaling Jaya-PH), Saifuddin berkata mengambil sikap “toleransi sifar” terhadap sindiket melibatkan warga asing di pintu masuk sempadan negara.

“Baik namanya counter settings, flying pasport, u turn, phantom travels, atau apapun istilahnya, ini adalah satu perbuatan yang memberikan wajah hodoh kepada agensi yang terbabit.

“Kami mengamalkan toleransi sifar terhadap perbuatan seumpama ini, siapa yang selalu menggunakan sistem manipulasi ini.

“Perihal komitmen kerajaan hari ini dalam membanteras rasuah itu tak perlu dipertikaikan, yang nak ketahui apakah tindakan yang diambil, tahun lepas sahaja, 26 kakitangan kerajaan dibuang, dan pada tahun 2023 sebanyak lapan pegawai dipecat,” katanya.

Saifuddin juga berkata kerajaan sedang ke arah pendigitan perkhidmatan khususnya, memperluaskan penggunaan autogate, untuk meminimumkan interaksi manusia di pintu masuk.

Selain itu, kerajaan juga akan memperkenalkan kamera badan kepada pegawai Akta Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang mengawal pintu masuk dan juga memperkenalkan sistem baru dikenali sebagai APSS (Advance Passenger Screening System).


Laporan disediakan oleh B Nantha Kumar, Alyaa Alhadjri & Zarrah Morden



Source link