Malaysia Oversight

Silambam kembali dalam Sukma 2026

By MkiniBM in August 15, 2025 – Reading time 1 minute
Silambam kembali dalam Sukma 2026


Sukan Muay Thai, petanque dan silambam sah akan memeriahkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di selepas penambahannya dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. 

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Exco Sukan negeri-negeri dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“Penambahan tiga sukan pilihan itu, Muay Thai, petanque dan silambam dicadangkan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026 Mohd Najwan Halimi serta dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

“Dengan penambahan itu, temasya SUKMA XXII 2026 akan mempertandingkan 30 sukan wajib serta tujuh sukan pilihan dan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan,” menurut kenyataan itu.


BACA: Isu silambam dan Sukma: ‘Jika ini bukan perkauman, maka apa lagi?’


SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di negeri Selangor. 

Sementara itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji inisiatif penganjuran ‘Non-Sukma Games’ bagi sukan-sukan yang tidak terpilih ke SUKMA dan model baharu penganjuran temasya dwitahunan itu selepas SUKMA 2028.

Beliau berkata ia bagi menjamin kesinambungan pembangunan sukan dan atlet tanpa membebankan dari aspek penganjuran. 

– Bernama



Source link