Pengumuman bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli untuk mengadakan sidang media esok bersama beberapa ahli parlimen daripada parti itu mencetuskan spekulasi panas.
Susulan pengumuman itu, satu mesej tular mendakwa Rafizi – yang kini menjadi pengkritik lantang kerajaan selepas meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi – bersama sepuluh lagi Ahli Parlimen PKR akan menarik balik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam sidang media tersebut.
Namun, perkara itu dinafikan ketua cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin.
“(Senarai itu) Palsu, hanya sekadar spekulasi,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.
Difahamkan, sidang media yang dijadualkan berlangsung di pejabat Ahli Parlimen Subang, Wong Chen itu, adalah berkenaan isu-isu nasional.
Razeef menjelaskan mereka yang akan hadir pada sidang media itu adalah wakil rakyat yang menyokong Rafizi semasa pemilihan parti itu pada Mei lalu.
Selain Wong, salah seorang yang turut dinamakan dalam mesej tular itu ialah Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.
Chang – yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – bagaimanapun dijadual menghadiri pelancaran program pendidikan sains di Kuala Lumpur pada waktu yang sama dengan sidang media Rafizi.
Rafizi tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR pada Mei lalu, yang membawa kepada peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi.
Penghujung bulan lalu, dia meluahkan rasa pesimis terhadap rancangan kerajaan untuk menyemak dan menstruktur semula Rancangan Malaysia Ke-13 dalam tempoh yang singkat. Dokumen RMK13 dipelopori kementerian ekonomi di bawah Rafizi sebelum ini.
Rafizi juga menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku krisis dalam badan kehakiman susulan persaraan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara.
Pemerhati politik melihat ini sebagai ‘kemunculan semula’ Rafizi, yang suatu ketika pernah dikenali kerana kerap mendedahkan skandal kerajaan melalui sidang media.