KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengekalkan dengan sasaran 200,000 pengunjung sepanjang tiga hari perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Petronas yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, sasaran itu diakui cukup tinggi, namun, beliau tekad untuk merealisasikannya bagi edisi tahun ini.
“Tahun lalu, GP Malaysia mencatat rekod kehadiran tertinggi dengan 184,923 penonton dalam tempoh tiga hari.
“Kapasiti tiket kita sudahpun mencapai 75 peratus setakat ini dan bagi menarik lebih ramai kehadiran peminat, kita membuat beberapa pembaharuan.
“Tahun ini, buat julung kali kita akan menganjurkan festival muzik tarian elektronik (EDM) menjelang perlumbaan GP Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran GP Malaysia di ibu negara, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.
Mengulas lanjut mengenai sasaran pengunjung, Azhan Shafriman berkata, sasaran 200,000 itu memang mencabar, tetapi dengan sokongan semua pihak, beliau yakin ia mampu dicapai.
GP Malaysia tahun ini akan didahului dengan dua festival EDM pada 18 dan 19 Oktober.
Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat, sebanyak RM1 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada Tabung Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong pembangunan atlet negara.
Sementara itu, promosi khas ‘beli satu percuma satu’ untuk tiket Rahmah GP Malaysia yang berharga RM49.90 telahpun mula dijual kepada peminat.
Promosi tersebut bermula pada pukul 12 tengah hari ini dan hanya dilaksanakan dalam tempoh 24 jam. – UTUSAN