Malaysia Oversight

Siasatan SPRM dapati tiada elemen jenayah dalam program MyKiosk

By MkiniBM in September 3, 2025 – Reading time 2 minute
Siasatan SPRM dapati tiada elemen jenayah dalam program MyKiosk


Kementerian Perumahan dan Tempatan (KPKT) menegaskan tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan dalam pelaksanaan Program MyKiosk, berdasarkan hasil siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata siasatan SPRM itu dilakukan susulan aduan yang diterima sebelum ini dan KPKT telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada SPRM pada 22 Mei lepas sebagai tanda ketelusan dan integriti kementerian.

92648a6525c9cb6e1e04294117a0927b
Aiman Athirah Sabu

“Hasil siasatan SPRM yang diumumkan pada 3 Julai mendapati tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan, sebaliknya hanya mencadangkan beberapa penambahbaikan dari aspek tadbir urus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu hasil siasatan SPRM terhadap tatakelola pengurusan inisiatif MyKiosk serta soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Senator Husin Ismail yang menyentuh pelaksanaan MyKiosk.

Menurut Aiman Athirah, pada 2023, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan MyKiosk 1.0 melibatkan 3,189 unit kios dengan kos RM48.18 juta manakala bagi 2024 pula, RM100 juta diperuntukkan untuk MyKiosk 2.0 melibatkan pembinaan 4,054 unit kios bernilai RM98.75 juta.

“Hingga kini, kadar pengisian unit untuk MyKiosk 1.0 mencapai 94.39 peratus manakala MyKiosk 2.0 berada pada tahap 89.07 peratus. Baki unit yang belum diisi, faktor seperti kesesuaian lokasi, kekurangan infrastruktur asas dan keadaan tapak yang belum siap dikenal pasti sebagai punca utama,” katanya.

cf6389fba4cad82b1b5edddb7a33186e

Justeru, beliau berkata satu pasukan petugas dalaman telah ditubuhkan bagi meneliti lokasi dan mempercepat pengisian, selain lawatan pemantauan bersepadu dan sesi libat urus bersama.

Bagi mempertingkatkan pelaksanaan MyKiosk, Aiman Atirah berkata KPKT turut memperkenalkan sistem pemantauan berasaskan kaedah Traffic Light bermula pada 2025 untuk menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pemberian markah penuh sebagai satu bentuk galakan.

Beliau berkata kos siling bagi satu unit MyKiosk 1.0 ialah RM15,000 manakala bagi MyKiosk 2.0 pula berjumlah RM25,000 seunit dengan penambahan spesifikasi baharu.

Selain itu, KPKT juga membenarkan PBT membuat penempatan semula kios ke lokasi yang lebih strategik di kawasan tumpuan awam sekiranya perlu, memandangkan MyKiosk direka bentuk mudah alih dan boleh disesuaikan mengikut keperluan setempat.

63f519c4ca9469f73de50327630c007a

Menjawab soalan tambahan Abdul Halim mengenai perbezaan antara MyKiosk versi lama dengan yang baharu, Aiman Athirah berkata model terkini dilengkapi dengan panel solar 100 watt berbanding 50 watt sebelum ini, dinding powdercoated, kipas, sistem kalis air tahan cuaca, serta pertambahan sudut keluasan.

Kos pertambahan model terkini sejajar dengan peningkatan spesifikasi, katanya.

– Bernama



Source link