Malaysia Oversight

Siasatan dalaman ke atas pegawai positif dadah

By MkiniBM in April 25, 2025 – Reading time 3 minute
Siasatan dalaman ke atas pegawai positif dadah


Sekurang-kurangnya tiga pegawai Imigresen yang ditahan selepas disyaki mengambil dadah dan dua lagi yang negatif dadah ketika mengunjungi sebuah pusat hiburan baru-baru ini, dipindahkan serta-merta ke jawatan kumpulan (pool).

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

“JIM memandang serius sebarang dakwaan salah laku membabitkan pegawai jabatan ini, sama ada dari aspek integriti mahupun disiplin.

“Bagi memastikan siasatan dalaman dapat dijalankan secara teratur dan telus, pegawai yang terlibat telah ditempatkan dalam jawatan kumpulan (pool) sebagai langkah interim.

“Penempatan ini adalah satu tindakan pentadbiran yang membolehkan proses siasatan oleh Bahagian Integriti, JIM dan pihak berkuasa berkaitan dilaksanakan tanpa gangguan terhadap tugasan harian atau kepentingan operasi jabatan,” katanya kepada Malaysiakini menerusi e-mel.

Tambahnya, tindakan ini juga selaras dengan tatacara pengurusan sumber manusia dalam perkhidmatan awam yang mengutamakan prinsip keadilan, ketelusan serta pematuhan kepada peraturan sedia ada.

Malaysiakini difahamkan, polis pada 14 April lalu, menahan tujuh kakitangan terdiri daripada seorang ketua balai polis, lima pegawai imigresen dan seorang pegawai SPRM di sebuah pusat hiburan ibu kota.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan seoarang pegawai suruhanjaya itu yang pernah dilantik sebagai ketua unit integriti Jabatan Imigresen bagi sebuah negeri sebelum dipindah semula ke ibu pejabatnya.

Bagaimanapun, Malaysiakini masih tidak dapat mengesahkan secara bebas kenyataan polis sebelum ini berhubung penahanan seorang ketua balai polis di ibu negara selepas disyaki mengambil dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya pada 18 April, adalah kes sama membabitkan pemindahan serta-merta seorang pegawai ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan pengesahan daripada pihak polis.

Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, JIM memaklumkan bahawa seorang pegawai Imigresen yang ditahan bersama-sama 11 pasport pada 27 Mac lalu, masih disiasat atas kesalahan melibatkan diri dalam sindiket Fly.

Siasatan telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen berkaitan kes tangkapan Pegawai Imigresen KLIA 2 yang ditahan pada 27 Mac 2025.

Pegawai tersebut telah diberikan surat jaminan polis dari Balai Polis Presint 7, dengan seorang penjamin warganegara Malaysia selama 90 hari dari tarikh tangkapan.

“Pegawai disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan melibatkan diri dalam aktiviti flying passport dengan menurunkan cap ke atas pasport warganegara asing tanpa kehadiran pemegang pasport berkenaan.

“Perbuatan ini boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) dan 12(1)(g) Akta Pasport 1966 yang mana kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya.

“Pegawai telah diambil tindakan oleh Jabatan dengan ditahan tugas sehingga kes selesai. Siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan beberapa bahan bukti penting untuk tindakan pendakwaan.

“Hasil siasatan akan dimajukan ke Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” kata JIM kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, pada 27 Mac lalu pegawai Imigresen itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban menerusi satu kenyataan berkata pegawai yang bertugas di KLIA Terminal 2 itu ditahan pada 12 tengah hari semalam.

“Bertindak atas maklumat awam dan pemantauan Unit Integriti, Jabatan Imigresen KLIA, pemeriksaan ke atas pegawai terbabit telah menemukan sembilan pasport Pakistan dan dua pasport Sri Lanka tersimpan di dalam sweater yang dipakainya,” katanya.

Dia berkata tindakan penahanan ke atas pegawai terbabit telah dibuat dan diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Ibu Pejabat untuk siasatan di bawah Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.



Source link