Malaysia Oversight

Siapa belanja jet peribadi tu, soal Adun Warisan

By MkiniBM in July 23, 2025 – Reading time 3 minute
Siapa belanja jet peribadi tu, soal Adun Warisan


Wakil rakyat Warisan, Justin Wong enggan membiarkan skandal jet peribadi yang melanda Sabah Mineral Management (SMM) berakhir begitu sahaja, sebaliknya terus memberi tekanan kepada syarikat milik negeri itu, ketika kemelut berkenaan masih belum reda.

Merujuk kepada “kurangnya ketelusan terhadap kos perjalanan”, Sri Tanjong itu menyoal, “siapa yang membiayai jet peribadi itu?”

“Dalam keadaan di mana keyakinan awam terhadap syarikat berkaitan (GLC) adalah rendah, pengabaian ini adalah sesuatu yang serius.

“Jika perjalanan itu dibiayai oleh pelabur asing atau pihak swasta — terutamanya ketika rundingan pelaburan yang sensitif — ia menimbulkan kebimbangan besar berhubung pengaruh tidak wajar atau rasuah lembut,” katanya pada satu kenyataan.

02d06718685636e1a2e8177dcd8af8c6

Wong (gambar atas) turut meragui jaminan SMM bahawa siasatan dalaman mendapati tiada salah laku, dengan membangkitkan siasatan oleh GLC sebegitu di Sabah jarang memenuhi harapan awam terhadap ketelusan.

“Tanpa pemantauan pihak ketiga, syarikat pada asasnya menanda kertas ujiannya sendiri, dan tidak mengejutkan apabila memberikan markah penuh kepada diri sendiri,” tambahnya lagi.

Dia turut mengkritik ancaman tindakan undang-undang oleh SMM terhadap individu dan media, dan menyifatkannya sebagai “melampau dan membimbangkan.”

“Dalam sebuah demokrasi, semakan oleh wartawan dan pemberi maklumat adalah penting.

“Ancaman tindakan undang-undang akan mewujudkan kesan menakutkan yang mengekang akauntabiliti awam, dan mencerminkan tingkah laku entiti yang lebih cenderung menindas kritikan berbanding menjawabnya,” katanya.

Wong menolak dakwaan SMM bahawa tuduhan-tuduhan itu bermotifkan politik, dengan menyifatkannya sebagai “satu pengalihan perhatian klasik.”

“Menuding jari kepada motif politik di sebalik dakwaan-dakwaan ini adalah pengalihan perhatian klasik. Sekalipun terdapat unsur politik, itu tidak menghapuskan persoalan sah mengenai tadbir urus, etika, atau perbelanjaan SMM.

“GLC yang bertanggungjawab seharusnya menjawab dakwaan dengan fakta, bukan mengalih tumpuan melalui tuduhan konspirasi politik,” katanya.

Walaupun tiada undang-undang dilanggar, Wong berhujah SMM masih belum menjelaskan jika penggunaan jet peribadi itu selaras dengan standard etika yang dijangka daripada sebuah GLC yang menguruskan sumber asli.

Mengupas lebih lanjut reaksi SMM, Wong berkata kenyataan syarikat hanya menyebut secara umum tentang kelulusan lembaga pengarah, tetapi tidak memberikan butiran konkrit.

“Siapa yang menyemak perbelanjaan tersebut? Adakah minit mesyuarat direkodkan, audit dilakukan, atau penilaian selepas perjalanan dijalankan? Tiada pendedahan tentang implikasi kewangan atau hasil daripada perjalanan itu.

“SMM begitu pantas menafikan sebarang salah laku tetapi tidak mendedahkan sebarang dokumen sokongan, rekod perjalanan, atau laporan siasatan dalaman.

“Orang ramai masih tertanya-tanya mengenai tujuan, kos dan hasil perjalanan tersebut. Pendedahan terpilih ini hanya menambah kecurigaan awam dan membuatkan syarikat kelihatan seperti sedang mencipta naratifnya sendiri,” tambahnya.

Pada 18 Julai, Malaysiakini melaporkan Wong membangkitkan persoalan tentang sekeping gambar yang didakwa menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, setiausaha syarikat Emily Chong dan taikun balak Sabah Elbert Lim, berdiri di sebelah jet yang dikatakan dimiliki oleh seorang hartawan arang batu dari Indonesia.

SMM kemudian menyatakan siasatan dalaman mendapati tiada bukti berlaku konflik kepentingan, keuntungan peribadi atau pengaruh tidak wajar berkaitan insiden tersebut.

Syarikat itu juga menjelaskan ia bukan pihak berkuasa pemberi lesen, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang lesen.

SMM percaya penyebaran semula gambar dari Ogos 2024 itu mungkin bermotifkan politik, merujuk kepada tindakan undang-undang yang sedang berjalan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Jontih Enggihon dan ahli perniagaan Albert Tei, yang sebelum ini mendedahkan skandal perlombongan di Sabah.

[Baca berita asal]



Source link