Malaysia Oversight

Siap sedia hadapi luruan angin di pantai timur Sabah

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
Siap sedia hadapi luruan angin di pantai timur Sabah


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku luruan angin ke pantai timur Sabah terutama Sandakan dan Lahad Datu selepas ia melanda pantai barat negeri terbabit.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata luruan itu diramal berlaku dalam tempoh dua hingga tiga hari mendatang, justeru penduduk di kawasan berkenaan dinasihat bersiap sedia untuk berpindah dan mematuhi apabila arahan dikeluarkan dengan membawa dokumen diri penting.

“Kita ucap terima kasih kepada jawatankuasa bencana negeri dan daerah, semua agensi dan jabatan yang membantu, terutamanya Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara).

“Paling penting kesiapsagaan kita kerana dikhuatiri dua tiga hari ini ada luruan angin akan datang semula dan akan pergi ke Sandakan serta Lahad Datu.

“Ini bukan bertujuan menakut-nakutkan tetapi dari segi kesiapsiagaan apabila arahan berpindah, patuhi arahan dengan membawa dokumen,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyantuni penduduk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Program Perumahan Rakyat Taman Sri Keramat di Putatan semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah yang juga Setiausaha Negeri Safar Untong dan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Terdahulu Ahmad Zahid diberikan taklimat oleh Safar sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu malam tadi.

Dia yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kemudian meninjau PPS di daerah Putatan, antaranya PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Petagas, PPS Dewan PPR Taman Sri Keramat, PPS Seringai dan PPS Meruntum.

Ahmad Zahid berkata pihaknya sedang meneliti senarai rumah rosak akibat bencana banjir dan tanah runtuh di negeri itu yang dikemukakan oleh JPBN supaya dapat bersama-sama dibantu untuk dibaiki atau dibina semula.

“Pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga diminta membantu mana-mana rumah rosak yang masih boleh dibaiki dengan memasang pendawaian semula agar elektrik dapat disalurkan,” katanya.

Dia menambah pegawai dan jentera agensi yang terlibat akan digerakkan ke daerah terjejas bersama aset yang diperlukan bagi membantu rakyat yang memerlukan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Ibrahim dijadualkan mengadakan lawatan ke Sabah berkemungkinan ke daerah Penampang bagi menyantuni rakyat dan meninjau sendiri situasi bencana.

“Saya pergi ke tiga daerah hari ini dan esok. Insya-Allah saya akan kembali lagi pada Sabtu untuk melihat daerah lain dan melakukan beberapa koordinasi terutamanya di kawasan yang perlu usaha pembersihan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya akan melakukan beberapa penyelarasan dengan membekalkan jet air dan lori tangki air bagi kerja pembersihan selain berkerjasama dengan badan bukan (NGO).

Ahmad Zahid berkata dia berpuas hati dengan penyelarasan yang dibuat oleh jawatankuasa pengurusan bencana di semua peringkat negeri dan daerah dalam membantu proses pemindahan mangsa terjejas di PPS.

Mengenai kerosakan jambatan akibat bencana itu, Ahmad Zahid berkata laporan telah diterima terutama melibatkan jambatan kegunaan harian yang rosak.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia untuk menyegerakan pembaikan agar laluan perhubungan berbentuk sementara dapat dibina sebelum penilaian bagi pembinaan jambatan baru,” katanya.

Bernama



Source link