Malaysia Oversight

Sherry Alhadad ‘buka mulut’ mengenai ‘Abang Jagung’

By Utusan in February 3, 2026 – Reading time 2 minute
Sherry Alhadad 'buka mulut' mengenai 'Abang Jagung'


KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara terkenal, Sherry Alhadad, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang bertemu dengan jejaka penjual jagung yang tular di media sosial ketika berada di Istanbul, Turkiye baru-baru ini.

Menurut Sherry atau nama sebenarnya Sharifah Mariam Syed Abdullah Al-Hadad, 43, dia mengakui pada awalnya tidak mengetahui kewujudan lelaki berkenaan yang menjadi fenomena di platform TikTok.

Bagaimanapun, selepas menerima pelbagai cadangan daripada orang ramai sebaik tiba di Istanbul bagi menjalani penggambaran drama, Sherry mengambil inisiatif untuk menjejaki penjual jagung tersebut.

“Sebenarnya saya tidak tahu tentang kewujudan ‘abang jagung’. Apabila sampai di Istanbul, ramai mencadangkan saya mencarinya kerana dia sangat terkenal di TikTok. Apabila melihatnya di media sosial, saya terpegun dengan ketampanannya,” katanya.

Menurut Sherry, sejurus tamat penggambaran, dia dan pasukan terus bergegas ke lokasi gerai penjual jagung itu yang dikenal pasti menerusi tanda lokasi di TikTok.

Mengulas pertemuan tersebut, Sherry berkata penjual jagung berkenaan memiliki personaliti yang peramah dan mudah didekati meskipun sentiasa dikunjungi peminat.

“Dia sangat ramah, mungkin kerana sedar dirinya terkenal. Jadi, dia tahu cara melayan pelanggan dan peminat. Apabila saya beritahu berasal dari Malaysia, dia tahu ramai peminat dari negara kita dan mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan,” ujarnya.

Tambah Sherry, bukan sahaja peminat tempatan, malah pelancong dari luar negara turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama jejaka berkenaan.

Sherry berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran wajah baharu Wisma D’Herbs, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, pelakon drama Khunza itu turut berkongsi pengalaman berharga menjalani penggambaran di Istanbul ketika musim sejuk, yang disifatkan sebagai satu kelainan buat dirinya.

“Satu pengalaman berbeza dapat berlakon di negara orang. Memang seronok. Di Malaysia, bila pengarah kata ‘cut’, kita terus lap peluh. Di Istanbul pula, cuaca sejuk membuatkan wajah rasa lebih cantik kerana tidak perlu lap peluh,” katanya berseloroh.





Source link