KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman, Mohd Shahrul Mat Amin kembali menjadi taruhan negara apabila diumumkan mengetuai cabaran Malaysia pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang bermula hujung minggu ini.
Turut melengkapkan senarai enam pelumba negara ialah Mohd Elmi Jumari, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Kee Zhe Yie, Muhammad Yusri Shaari dan Muhammad Iqmal Mohd Zarawi.
Ketua jurulatih kebangsaan, Mohd Yusoff Nasir berkata, pemilihan dilakukan selepas menilai prestasi pelumba pada beberapa siri perlumbaan domestik termasuk Jelajah Negeri Sembilan dan Kedah.
“Shahrul kembali bukan kerana nama, tetapi kerana beliau lulus proses pemilihan dengan baik. Dia menunjukkan disiplin dan keazaman yang membuktikan dia masih mampu bersaing,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman skuad kebangsaan ke LTdL 2025, semalam.
Menurutnya, gabungan tiga pelumba senior dengan tiga lagi pelumba berumur bawah 25 tahun memberi keseimbangan dalam pasukan negara.
“Kita ada Shahrul sebagai ketua, Elmi sebagai pakar pecut, Amir dan Zhe Yie yang berpotensi untuk pendakian, serta Ikmal dan Yusri yang serba boleh. Ini kombinasi yang realistik untuk kita bersaing merebut jersi Asia,” kata Yusoff.
Tambahnya, fokus utama negara ialah cuba menawan beberapa peringkat pendakian seperti di Fraser Hill dan Gerik, selain mencuba peluang podium dalam peringkat pecut.
“Secara realistik, sasaran kita adalah jersi putih selaku terbaik Asia. Tetapi dalam lumba basikal macam-macam boleh berlaku, jadi kita akan cuba maksimumkan peluang pada semua peringkat,” katanya.
Sementara itu, Shahrul menegaskan beliau mahu menggunakan pengalamannya untuk membimbing pelumba muda.
“Pengalaman tidak bermakna apa-apa jika tidak disertai prestasi. Jadi saya akan cuba pimpin rakan-rakan terutama dari segi posisi ketika mendaki dan strategi perlumbaan.
“Basikal sudah sebati dalam hidup saya. Walaupun pernah terpinggir selepas 2019 dan musim COVID-19, saya terus berlatih. Bila ada peluang, saya mohon sertai pemilihan dan bersyukur terpilih secara merit,” kata Shahrul.
Untuk rekod, kali terakhir pelumba kelahiran Marang, Terengganu itu beraksi perlumbaan berprestij Asia adalah pada edisi 2018 yang mana beliau mewakili pasukan profesional Terengganu Cycling Team (TSG).-UTUSAN