Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan membongkar isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu yang kini bersama PAS mempersoal pihak yang membawa masuk pemaju ke kawasan itu secara tergesa-gesa umpama ada agenda tersembunyi.

“Siapa sebenarnya yang membawa masuk pemaju? Mengapa tergesa-gesa sehingga kelihatan seolah-olah ada usaha untuk bulldoze?
“Saya mendesak agar SPRM segera menyiasat dan membongkarkan perkara ini,” kata bekas pemimpin Umno itu dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Terdahulu, SPRM mendakwa penduduk tidak memahami sepenuhnya tentang risiko, ketiadaan tadbir urus serta perancangan strategik yang teliti, yang menjadi antara punca a polemik pembangunan semula di Kampung Sungai Baru.
Bernama melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata isu perancangan bandar dan guna tanah bukan perkara baru namun kelemahan pendekatan semasa menyebabkan rakyat akhirnya menjadi mangsa.
“Dalam kes Kampung Sungai Baru, saya tidak anggap ia isu besar, tetapi jelas perancangannya tidak begitu teliti. Penduduk sendiri mungkin tidak faham risiko apabila bersetuju tanah mereka dibangunkan.
“Apabila tiada kefahaman, ketiadaan tadbir urus dan ketiadaan perancangan strategi, akhirnya rakyat yang menderita,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4 2025 di Sepang, hari ini.

Dia menyentuh isu Kampung Sungai Baru ketika mengulas kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung ‘Risiko Rasuah Dalam Menentukan Penggunaan Guna Tanah Dalam Penyediaan Rancangan Tempatan’ pada persidangan itu.
Azam berkata akta sedia ada seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 juga perlu dikaji semula agar selari dengan keperluan pembangunan semasa.
Shahidan pada April lalu berkata semasa menjadi menteri dulu dia memang terlibat secara langsung dalam isu Kampung Sungai Baru apabila mengambil tindakan menangguhkan pembangunannya.
“Dalam kes itu saya terlibat secara langsung untuk penangguhkan (pembangunan). Tangguh supaya pampasan dibayar berdasarkan nilai semasa.
“Saya juga melantik (syarikat) Rahim & Co untuk membuat penilaian. Cukuplah (penjelasan) setakat ini, selebihnya biar mahkamah putuskan,” katanya.

Sebelum ini seorang lagi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, menjelaskan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru pada awalnya dibat secara rundingan terus di antara pemilik dan pemaju.
Katanya, PN yang kini dianggotai Shahidan dan menjadi kerajaan kemudiannya menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah berkenaan.