PARLIMEN | Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu Tabung Haji (TH).
Ia susulan ucapan Na’im di Dewan Rakyat pagi tadi, di mana dia mengesahkan TH telah melantik sebuah syarikat melalui rundingan terus bagi tujuan penjenamaan semula.
Shahidan mendakwa kenyataan Na’im melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36(12) dan menggesa Na’im dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Dia memetik laporan berita tahun lalu yang menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan mengamalkan rundingan terus.
“Tapi TH masih buat rundingan terus. Ia bukan saja melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36(12), tetapi juga melanggar (komitmen) ‘Madani’.
“Ini yang saya marah. Langgar yang lain tak apa, langgar (kerajaan) Madani saya marah,” katanya secara sinis.
‘Tunggu keputusan speaker’
Apabila ditanya oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, anggota Parlimen PAS itu berkata dia telah mengemukakan usul itu kepada Speaker Johari Abdul tetapi belum mendapat jawapan.
Lau kemudian memberitahu Shahidan supaya menunggu keputusan Johari kerana ia di bawah budi bicara Speaker.
Dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri pagi tadi, Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bertanya jika TH masih menggunakan rundingan terus dalam perolehan.
Na’im kemudian mengesahkan TH telah melantik sebuah konsortium melalui rundingan terus untuk membuat penjenamaan semula.
Dia seterusnya menyenaraikan beberapa justifikasi di sebalik keputusan itu.
Katanya, pendekatan seperti itu dibenarkan dalam keadaan tertentu, khususnya apabila projek memerlukan kepakaran khusus.
“Pemilihan ini telah melalui proses tadbir urus yang ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial yang menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan Jawatankuasa Tender dan seterusnya Lembaga Pengarah, bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan nilai terbaik kepada organisasi,” katanya lagi.
Laporan oleh Hariz Mohd, Zarrah Morden, Shakira Buang