Kerajaan Selangor menegaskan bahawa pemaju hanya merobohkan struktur kosong tanpa penghuni di Kampung Jalan Papan, di tengah-tengah laporan bahawa rumah yang diduduki juga telah dirobohkan.
Ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor, Borhan Aman Shah mengulangi perkara itu dalam kenyataan hari ini, namun tidak mengulas mengenai aduan penduduk dan bantahan aktivis mengenai perobohan rumah yang masih didiami.
Sebaliknya, Exco yang bertanggungjawab bagi perumahan dan kebudayaan itu berkata perjanjian tertentu telah ditentukan semasa mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada 21 Okt.
Dia memperincikan bahawa semasa mesyuarat itu, telah dipersetujui bahawa kerja-kerja perobohan hanya perlu dijalankan pada “struktur kosong tanpa penghuni, sejajar dengan pendekatan penyelesaian berhemah.”
Menurutnya, mesyuarat itu juga memutuskan bahawa pemaju, Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd, harus menyerahkan kira-kira lapan ekar tanah kepada kerajaan negeri.
Susulan keputusan itu, kerajaan negeri kemudiannya telah mengeluarkan surat rasmi kepada Melati Ehsan pada 11 Nov untuk mengesahkan komitmen mereka menyerahkan tanah yang ditetapkan dan memastikan perobohan rumah yang diduduki ditangguhkan sehingga penyerahan tanah dimuktamadkan.
“Melati Ehsan, melalui peguamnya turut menyatakan kesediaan menyerahkan tanah seluas tujuh ekar, serta beberapa lot di Jalan Papan dan Jalan Kerayong untuk tapak pemindahan rumah ibadat.
“Penyelesaian terkini isu peneroka bandar Jalan Papan menunjukkan kemajuan positif hasil persetujuan pemaju MECSB untuk menyerahkan 7 ekar tanah kepada kerajaan negeri Selangor,” kata Borhan.
Pada 12 November, hari ketiga perobohan rumah di Kampung Jalan Papan, semakan Malaysiakini mendapati beberapa rumah yang masih diduduki telah dirobohkan.
Penduduk, aktivis, dan ahli PSM juga berusaha untuk menyekat perobohan rumah yang masih didiami, dengan rakaman visual pergelutan dengan anggota polis dirakamkan pada hari kejadian.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, kemudiannya ditangkap bersama dua individu lain, aktivis M Mythreyar dan wakil penduduk M Logesvaran, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang seorang penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.
Keesokan harinya, sembilan orang lagi telah ditangkap atas kesalahan yang sama.
Hari ini, sembilan orang lagi – termasuk seorang ahli PSM dan penyelaras Suaram – telah ditangkap manakala permohonan reman untuk 10 yang lain ditolak oleh mahkamah majistret Klang.
Burhan hari ini berkata bahawa penyerahan tanah merupakan langkah penting yang membuka jalan untuk pembangunan penempatan semula yang lebih teratur dan mampan.
“Kerajaan negeri turut sedia menawarkan penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa kepada peneroka yang memerlukan, dengan kadar sewa yang berpatutan.
“Komitmen kerajaan negeri adalah jelas, tiada peneroka akan dibiarkan tanpa penempatan sementara, sementara penyelesaian kekal dirangka dan dimuktamadkan,” tegasnya.
Dia menyatakan bahawa tanah seluas tujuh ekar yang akan diserahkan oleh Melati Ehsan akan digunakan untuk rancangan membangunkan perumahan pangsapuri sebagai penyelesaian jangka panjang untuk peneroka yang terjejas.
Tambahnya, melalui pendekatan sedemikian, pentadbiran negeri berada di landasan yang lebih jelas untuk memastikan penyelesaian yang “adil, terancang dan berperikemanusiaan” untuk peneroka Kampung Papan, sambil mengekalkan pembangunan yang sejajar dengan dasar perumahan dan perancangan negeri.






