Kerajaan Selangor dilihat membuat pusingan U apabila berhasrat memasukkan semula seni bela diri India silambam ke dalam acara Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
Ini selepas pengecualian silambam daripada temasya Sukma ke-22 yang akan berlangsung di Selangor tahun depan mendapat kritikan pemimpin politik India.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan syor memasukkan semula silambam dibincangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Amirudin Shari.
“Cadangan ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk memperluaskan penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan dari peringkat akar umbi ke peringkat kebangsaan,” katanya pada satu kenyataan.

Katanya, syor itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Selain silambam, Najwan berkata acara petanque dan muaythai juga disyorkan untuk dimasukkan ke dalam Sukma ke-22.
Bagaimanapun katanya, keputusan cadangan ini tertakluk kepada persetujuan semua wakil-wakil negeri yang menganggotai Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh menteri belia dan sukan serta perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Ogos 2025.
Sementara itu, Mohd Najwan turut menggesa semua pihak agar tidak menjadikan sukan sebagai medan perpecahan politik, terutamanya dengan memainkan sentimen perkauman.
“Sukan adalah medan perpaduan yang menyatukan rakyat merentasi kaum, agama dan ideologi politik. Ia seharusnya diraikan dengan semangat kesukanan yang tulen dan inklusif,” tegasnya.

Terdahulu, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy (gambar atas) berkata dia kecewa berikutan pengecualian acara itu.
“Jika ini bukan isu perkauman, maka apa lagi,” soalnya.
Dilaporkan sebanyak 34 jenis sukan akan dipertandingkan termasuk tambahan n e-sukan, catur, kriket dan kabaddi.
Ramasamy juga menolak pembelaan “ada sukan lain juga dikecualikan”.

Ramasamy turut menyelar Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kerana mempertahankan ketiadaan acara seni bela diri India silambam dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
Dia berkata Yeoh tidak patut menuduh orang lain mempolitikkan isu dan bertindak bersikap seolah-olah kementerian tiada kuasa.
“Jika negeri tuan rumah (Selangor) boleh memilih sukan secara sewenang-wenangnya, maka apa gunanya kita mempunyai Kementerian Belia dan Sukan yang diketuai oleh seorang menteri persekutuan,” soal pemimpin Urimai itru lagi.
Yeoh semalam menggesa orang ramai agar tidak menjadikan pengecualian silambam daripada Sukma 2026 sebagai isu perkauman dan menegaskan bahawa keputusan itu hak mutlak negeri penganjur.