MUKTAMAR PAS | Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin hari ini menjawab kritikan sesetengah pihak yang mendakwa parti Islam itu tidak mempunyai calon yang layak menjadi perdana menteri.
Berucap pada Muktamar Ulama PAS di Kedah, Hashim berkata PAS boleh mengemukakan ramai calon perdana menteri sekiranya ukuran yang digunakan adalah berdasarkan gaya seorang pemimpin tertentu.
“Sehari dua ni, ada yang dok kacau pimpinan PAS. Siapa nak jadi PM PAS ni. Siapa dia calon?
“(Bila PAS) dok senyap, dia kata PAS ni tepulah, dia tak ada pemimpin yang layak jadi perdana menteri. Kalau kita tanya balik, hang nak cari PM macam mana
“Aih yang naik kapal terbang pi mesyuarat sana sini, (Mereka kata) kami nak macam tu la. Berlambak dalam PAS pun, tapi kami tak bagi (perkara ini).
“Bukan jenis itu yang kita cari, nak letak seorang perdana menteri memimpin, bukan jenis tu, jenis tu 3-4 lori kami boleh cari,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pagi tadi.
Kira-kira 600 perwakilan ulama PAS hadir dalam muktamar tahunan di Maahad Darul Hadis, Alor Setar, Kedah hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan Hashim itu dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini dikritik pembangkang kerana kerap melakukan lawatan rasmi ke luar negara.
Ciri-ciri perdana menteri
Dalam ucapannya Hashim menggariskan empat ciri utama yang mesti ada pada seorang pemimpin untuk layak menjadi perdana menteri:
Ciri-ciri berkenaan katanya ialah takut kepada Allah, beramal dengan syariat yang diturunkan, membuat persediaan di hari akhirat dan reda dengan rezeki yang ditentukan Allah meskipun sedikit.
“Kita nak cari pemimpin jenis tu, bukan pemimpin yang saya dapat dah banyak ni, banyak dah orang sokong sana, sokong sini. Sokong buat apa? Untuk apa dia sokong?
“Adakah untuk takutkan Allah? Dok (tidak). Buat persediaan untuk akhirat? Dok. Buat kebajikan dan sebagainya? Dok. Elak daripada dosa2? Dok.
‘Memimpin orang ke arah kebajikan dan kebaikan, inilah sebenarnya yang PAS kita tarbiyah diri kita sikit demi sikit,” katanya.
Hashim turut menempelak pihak yang mendakwa ulama tidak layak mentadbir negeri.
Dia memberikan contoh bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menjadi Menteri Besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.
Menurutnya, PAS pernah diejek apabila menamakan Nik Aziz, seorang ulama, sebagai menteri besar setelah parti itu berjaya merampas Kelantan daripada Umno.
“(Pemimpin) Umno dok kata tiga bulan tumbang kerajaan ni. Sampai 3, 6 bulan, setahun, 22 tahun, takdak masalah,” katanya.