Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata setakat pengetahuannya, tiada sebarang usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin sebagai presiden Bersatu bagi membawa masuk parti itu ke dalam kerajaan.
Bagaimanapun, Rafizi berkata Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Anwar Ibrahim jarang berkongsi dengannya mengenai langkah politik yang akan diambil.
“Setakat yang saya tahu, tiada (usaha tersebut). Anwar sebagai presiden parti tidak berkongsi perkara-perkara seperti langkah politik seperti ini.
“Perbincangan mengenai strategi politik parti yang besar dan melibatkan saya hanya berlaku ke arah PRU15 dan semasa pembentukan kerajaan perpaduan.
“Selepas itu sebarang langkah politik dalam kepala PMX sendiri yang tidak dikongsi dengan timbalan presiden (dirinya),” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad mendakwa ada usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin untuk Bersatu menyertai kerajaan perpaduan.
“Ada yang kata presiden mesti ‘direhatkan’ kerana kononnya itu adalah syarat yang dikenakan oleh parti yang berada di dalam kerajaan sekarang untuk Bersatu diterima membentuk kerajaan bersama mereka.
“Entah ya, entah tidak,” kata Marzuki tanpa menghuraikan perkara itu dengan lebih lanjut.
Kenyataan itu dibuat dua hari selepas dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU15.
Dalam audio siar bekas menteri Zaid Ibrahim, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Muhyiddin ketika itu menolak untuk menyertai kerajaan tanpa tanpa merujuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 6 September lalu kecoh berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang didakwa untuk menyingkirkan Muhyiddin.
Kekecohan tercetus apabila Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan berkata wujud komplot untuk mengumpul tandatangan bagi menyingkirkannya.
Pada 14 Oktober lalu, Bersatu memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian lima lagi ahli, termasuk Wan Ahmad Fayhsal.
Menurut Lembaga Disiplin Bersatu, mereka menjalankan siasatan selepas menerima aduan bertulis daripada ahli berhubung pelanggaran perlembagaan dan tatakelakuan parti.
Sebelum itu, Wan Saiful membuat kejutan apabila mengkritik Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, serta menjelaskan langkah sesetengah pemimpin parti itu mengumpul akuan berkanun (SD) dalam kalangan ketua-ketua bahagian bukan bertujuan untuk mengetepikan presiden mereka, Muhyiddin Yassin.






