Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu hari ini diberitahu bahawa seorang daripada lima pelajar yang didakwa berhubung kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah berpindah sekolah beberapa minggu selepas insiden malang menimpa remaja itu pada 16 Julai lepas.
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar iaitu Azhari Abd Sagap, 31, berkata pelajar berkenaan, yang dirujuk sebagai Pelajar A, tidak lagi bersekolah di situ manakala empat lagi kekal di sekolah sama.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi kelapan pada hari kesembilan prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ketika disoal peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, Azhari berkata beliau tidak mengetahui alasan pelajar itu berpindah atau bagaimana kelulusan diberikan kerana perkara tersebut bukan bidang tugasnya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
– Bernama