Malaysia Oversight

Semua proses termasuk bincang penduduk dilaksanakan – MB S’gor

By MkiniBM in November 10, 2025 – Reading time 2 minute
Semua proses termasuk bincang penduduk dilaksanakan – MB S’gor


Semua proses termasuk perbincangan bersama penduduk hingga ke peringkat mahkamah telah dilaksanakan susulan arahan mengosongkan tanah bagi kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang melibatkan 19 penduduk di Kampung Jawa, Klang.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata tiada lagi rundingan lanjut khususnya membabitkan jumlah pampasan kerana semua proses telah dilalui sepenuhnya, termasuk penilaian pampasan yang dijalankan oleh pihak penimbang tara.

“Proses-proses telah dilalui sepenuhnya. Sudah pergi ke mahkamah, dah proses ke timbang tara. Ia (jumlah pampasan) bukan ditentukan oleh pihak pemaju, ia ditentukan oleh pihak penimbang tara yang saya rasa menilai secara saksama dan adil.

“Saya berharap semua bertanggungjawab, kita harus menyelesaikan (isu ini) dan negeri akan bantu sebaik mungkin. Tak kan 150 meter (yang tergendala dalam pembinaan WCE di Kampung Jawa itu) akan mengehadkan atau hentikan seluruh jajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur di Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala (LATAR) di Kuala , yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah, hari ini.

Ditanya sama ada terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjadikan isu itu sebagai polemik kaum, Amirudin menegaskan negeri bertindak demi kemaslahatan umum.

Terdahulu, Selangor bersetuju memberikan tambahan dua minggu bermula hari ini hingga 24 Nov kepada penduduk terlibat dalam arahan pengosongan tanah masing-masing bagi pembinaan lebuh raya itu.

Menurut Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Datuk Borhan Aman Shah, surat rasmi penangguhan pengosongan tanah telah diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang, dengan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada penduduk menguruskan proses pemindahan.

Sebelum ini, penduduk diberi tempoh tujuh hari (hingga 10 Nov) untuk mengosongkan tanah masing-masing.

Lebuhraya WCE, yang kini 90 peratus siap, merupakan projek infrastruktur utama negara dengan rangkaian sepanjang 233 kilometer menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak, selain berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

— Bernama



Source link