Malaysia Oversight

Semua PBT wajib tubuh unit integriti selewatnya 31 Ogos

By MkiniBM in May 1, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diwajibkan menubuhkan Unit Integriti (UI) selewat-lewatnya 31 Ogos ini sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh integriti pentadbiran.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sebagai langkah memperkemas struktur pelaporan, semua pegawai penghubung (LO) di PBT kini dikehendaki melapor terus kepada UI di Pejabat Setiausaha (SUK) negeri dan bukan lagi kepada yang dipertua.

“Pendekatan ini bertujuan mengukuhkan autonomi pelaporan serta meningkatkan ketelusan urus tadbir integriti di peringkat negeri,” menurut kenyataan itu yang dikongsi menerusi laman rasmi Facebook SPRM.

SPRM memaklumkan perkara itu merupakan antara keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar, turut menekankan keperluan pematuhan terhadap laporan SPRM, dengan Pejabat KSN akan mengeluarkan surat peringatan kepada kementerian dan negeri yang masih belum mengambil tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan bagi 2017 hingga 2021.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam telah diarahkan menyemak semula beberapa bahagian penting dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), termasuk perkara berkaitan penerimaan tajaan pihak luar untuk program kerjasama pintar, sebagai langkah penambahbaikan dasar agar lebih telus dan berintegriti.

Kementerian Kewangan pula diminta mempertimbangkan garis panduan “Do’s and Don’ts” Pelaksanaan Perolehan yang disediakan oleh Urus Setia JTK Peringkat Nasional untuk dijadikan rujukan rasmi, digubal sebagai pekeliling dan diedarkan ke semua agensi untuk diguna pakai secara menyeluruh.

Menurut SPRM, KSN turut mengingatkan semua ketua setiausaha (KSU) agar segera melaporkan sebarang kes rasuah yang diketahui di kementerian masing-masing kerana ia merupakan satu daripada indikator penting dalam Sistem Penilaian Prestasi Demerit (Deep), sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh budaya antirasuah.

-Bernama



Source link