Ketika industri seni negara masih bergelut dengan dilema kreativiti dan garis sensitiviti sosial, pelakon meningkat naik, Mierul Aiman, tampil dengan pandangan yang lebih kritis dan berani mengenai arah tuju karya tempatan.
Baginya, dunia seni tidak boleh terus terperangkap dalam naratif selesa, kerana seni wajar menjadi cerminan kepada realiti masyarakat, bukan sekadar tontonan pengisi masa lapang.
Mierul melihat perubahan yang berlaku hari ini, di mana lebih ramai pengarah, penerbit dan penulis membuka ruang untuk isu-isu yang selama ini dianggap taboo sebagai momentum penting untuk masa depan industri.
Menurutnya, seni visual mempunyai tanggungjawab untuk menyuap pandangan penonton dengan kisah yang perlu dibicarakan, walaupun hakikatnya mungkin tidak mudah diterima sesetengah pihak.
Berikut adalah pandangan yang dikongsikan Mierul bersama Pancaindera.
Sekarang kita lihat ramai penerbit dan pengarah yang berani membawa karya-karya dengan pendekatan baru. Adakah ia memberi impak kepada industri kita?
Ya, bagi saya ia memberi impak besar. Ada satu cerminan tentang masyarakat, tentang golongan budaya, bahkan tentang sesebuah tamadun.
Ia menjadi rujukan kepada apa yang berlaku pada ketamadunan itu sendiri. Dulu kalau dilihat, terdapat banyak limitasi. Sekarang ruang itu sudah lebih terbuka dan saya rasa itu sesuatu yang sihat.
Mengapa kita perlu buka ruang untuk karya sebegini?
Sebagai manusia, mata kita perlu disuap dengan perkara yang perlu diceritakan. Filem dan drama menjadi medium visual untuk kita mengetahui apa yang sedang berlaku pada sosial kita, adab kita dan ketamadunan kita. Karya adalah cerminan realiti.
Namun ada yang berkata isu tertentu tidak patut dipaparkan. Pandangan anda sebagai seorang pelakon?
Jika dibuat, orang kata tidak boleh. Jika tidak dibuat, orang kata kenapa tidak bersuarakan isu itu? Dua-duanya ada salahnya. Satu lagi, jangan takut dengan kritikan penonton kerana kita perlukan kritikan daripada mereka. Kritikan yang diberikan adalah terjemahan pemikiran dan perasaan mereka.Sebagai pelakon, tugas kita adalah melaksanakan lakonan. Selepas itu, apa sahaja yang penonton ingin katakan, kita perlu terima. Setuju atau tidak, itu bergantung pada kita.
Anda sering membawa watak luar biasa. Adakah itu minat anda?
Saya memang suka berlakon. Kalau diberi watak luar biasa, itu satu bonus. Kalau bawakan naskhah cinta pun boleh jadi luar biasa jika ia mengubah kehidupan seseorang. Pandangan orang berbeza-beza. Bagaimanapun, kalau ditanya, bagi saya, semua naskhah adalah mulia. Tidak ada istilah luar biasa atau biasa.
Adakah anda seorang pelakon yang suka mencabar diri dalam karier?
Alhamdulillah, saya sentiasa ada keinginan tinggi dan saya nak sifat itu kekal sampai tua. Saya ingin ada obses dan keghairahan terhadap seni lakon. Dari mula saya tidak pernah berhenti menginginkan terbaik untuk kerjaya seni saya. Bila kita dapat cuba pelbagai genre contohnya aksi, romantik, komedi, itu adalah cabaran yang saya letakkan pada diri sendiri untuk mempelbagaikan ‘rasa’ dalam karya. Doakan saya terus mencuba perkara baharu yang menaikkan semangat saya.
Dalam pada itu, adakah anda kini lebih memilih naskhah?
Sebenarnya saya sudah mula memilih. Bukan kerana mahukan yang terbaik semata-mata, tetapi kadang-kadang dalam satu tempoh datang tiga tawaran. Jadi, kita kena pilih berdasarkan jalan cerita, nilai baharu dan apa yang saya belum bawa sebelum ini.






