Malaysia Oversight

‘Semua baju kami sudah pakai’: Kejenuhan demokrasi Sabah

By MkiniBM in October 28, 2025 – Reading time 6 minute
malaysiakini logo


Dalam tempoh antara Januari hingga September, saya melakukan empat siri pemerhatian lapangan dari Tawau hingga Kudat, menyusuri Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Ranau, Kota Marudu dan Keningau. Dalam pertemuan dengan anak-anak muda pelbagai latar belakang, saya meneliti kecenderungan politik mereka menjelang PRN17 Sabah. 

Dari perbualan-perbualan santai hingga sesi kumpulan kecil, satu ungkapan kerap muncul yang seolah-olah menjadi suara bersama generasi muda negeri ini: “Semua baju kami sudah pakai.”

Ungkapan itu bukan keluhan kosong, tetapi satu bentuk refleksi sosial terhadap kejenuhan demokrasi, satu keadaan apabila rakyat masih berpartisipasi, namun hilang keyakinan terhadap keupayaan demokrasi untuk menggerakkan perubahan yang bermakna. 

Ini bererti, mereka masih percaya pada proses pilihan raya, tetapi tidak lagi percaya kepada hasilnya. Situasi ini sangat terkait dengan pernyataan yang pernah diungkap oleh Alexis de Tocqueville dalam Democracy in America (1835):

“Democracy survives not by its form, but by the faith people have in its promise.”

Hari ini, di Sabah, keyakinan terhadap janji demokrasi itulah yang dilihat semakin pudar dan terhakis.

Krisis kepercayaan dan kejenuhan demokrasi

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, rakyat Sabah menyaksikan pelbagai isu yang menggugat kepercayaan mereka terhadap institusi politik dan pentadbiran negeri.

Isu Justice for Zara, tragedi tragis yang melibatkan seorang pelajar perempuan menjadi tumpuan nasional dan simbol kegagalan sistem dalam menegakkan keadilan. Pada masa sama, tersebar pula video yang didakwa menunjukkan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin sebuah parti dalam gabungan pemerintah negeri.

4f149b4d16bb67a09046b7b76ee1e9bb

Isu-isu ini tidak sekadar mencemar reputasi politik Sabah, tetapi juga memperkukuh pandangan bahawa politik Sabah kini mengalami krisis legitimasi. Hal ini selari dengan huraian oleh Jürgen Habermas (1975), iaitu apabila sistem masih beroperasi secara formal tetapi kehilangan kepercayaan moral dan sosial daripada rakyat.

Di sinilah munculnya fenomena kejenuhan demokrasi: rakyat tidak menolak pilihan raya, tetapi menolak permainan kuasa yang berulang tanpa pembaharuan makna.

Budaya politik Sabah sebelum ini sangat kuat berakar dengan budaya politik berasaskan kesetiaan dan hubungan penaung-dinaung. Namun daripada pemerhatian lapangan, corak ini semakin longgar, khususnya dalam kalangan anak muda. Anak muda kini menilai kepimpinan bukan berdasarkan parti, tetapi keberkesanan dasar dan integriti peribadi. Jika dahulu pemimpin diundi kerana simbol, kini mereka dinilai atas hasil kerja.

Russell J Dalton (2016) dalam The Good Citizen menghujahkan bahawa generasi baharu global menolak “politik kesetiaan parti” dan beralih kepada “politik penilaian”. Fenomena ini kini jelas dalam kalangan pengundi muda Sabah. Mereka tidak lagi tunduk kepada ideologi lama, tetapi menilai secara pragmatik siapa yang jujur dan boleh dipercayai.

Namun apabila mereka menyaksikan bagaimana isu keadilan seperti Justice for Zara ditangani secara tidak teratur dan lemah, dan apabila video rasuah yang tular tidak disusuli dengan tindakan tegas, maka keletihan moral itu semakin mendalam. Rakyat mula melihat politik bukan sebagai ruang pengharapan, tetapi sebagai gelanggang sandiwara.

Keletihan ideologi dan politik keinsafan

Ungkapan “semua baju kami sudah pakai” melambangkan keletihan ideologi, situasi ketika rakyat tidak lagi percaya kepada mana-mana parti sebagai penyelamat tunggal. Mereka telah mencuba , Warisan, PBS dan kini GRS. Tetapi bagi ramai, tiada yang benar-benar membawa pembaharuan struktural.

Keletihan ini melahirkan apa yang saya istilahkan sebagai politik keinsafan, satu bentuk kesedaran bahawa perubahan sebenar hanya berlaku apabila pemimpin dan rakyat sama-sama belajar daripada kekecewaan. Perihalan ini pernah ditonjolkan oleh Antonio Gramsci (1971):

“The crisis consists precisely in the fact that the old is dying and the new cannot be born.”

Sabah kini berada dalam satu ruang dilema iaitu antara warisan politik lama yang masih bernafas, dan politik baharu yang masih mencari bentuk.

Landskap politik Sabah kini bergerak ke dalam satu lingkungan yang disebut oleh Zygmunt Bauman (2000) sebagai liquid modernity, satu lingkungan dunia yang cair, tanpa struktur tetap. Gabungan berubah dengan cepat, ideologi saling bertindih, dan garis kesetiaan menjadi kabur. Dalam keadaan ini, satu-satunya modal politik yang bernilai ialah kepercayaan.

Walau bagaimanapun, sebagaimana yang pernah diungkap oleh Hannah Arendt (1958) dalam The Human Condition:

“Power and trust are inseparable; when trust collapses, power becomes mere authority.”

Apabila kepercayaan rakyat terhakis akibat kegagalan tadbir urus, kuasa politik kehilangan makna moral. Ia mungkin masih sah di sisi undang-undang, tetapi tidak lagi sah di sisi hati rakyat.

PRN17 dan pencarian makna baru

Menjelang PRN17, corak pengundian di Sabah akan menjadi cerminan sejauh mana rakyat menuntut makna baharu dalam politik. Bagi pengundi muda yang berumur antara 24 hingga 40 tahun; yang kini membentuk sekitar 32 peratus daripada keseluruhan 1.7 juta pengundi Sabah, pilihan raya bukan lagi medan untuk menguji kesetiaan parti, tetapi medan mencari ilham dan keyakinan baharu.

Mereka sedang mencari apa yang boleh disebut sebagai inspirational option, satu pilihan politik yang bukan sekadar menjanjikan pembangunan, tetapi membangkitkan semula kepercayaan bahawa politik masih mampu menjadi wadah kebaikan bersama.

e05717771f406e4b08ed5eb42a9c5de8

Dalam kalangan generasi ini, inspirasi menjadi nilai politik baharu yang menggantikan kesetiaan. Mereka tidak lagi menilai calon dari warna parti, tetapi dari makna moral yang dibawa oleh individu tersebut. Ini sejajar dengan gagasan James MacGregor Burns (1978) dalam karya klasiknya Leadership, yang membezakan antara transactional leadership dan transformative leadership. Burns menegaskan bahawa pemimpin sejati ialah mereka yang tidak sekadar berurusan dengan transaksi politik jangka pendek, tetapi membangkitkan kesedaran moral dan aspirasi kolektif pengikutnya.

Fenomena inspirational option di Sabah menandakan munculnya politik transisi, peralihan daripada politik ‘penaungan’ kepada politik makna. Watak-watak seperti Dr Aliakhbar Gulasan, Isnaraissah Munirah Majilis, Cikgu Alias Sekong, Peto Galim, Ewon Benedict, Verdrom dan Vetrom Bahanda, menjadi lambang generasi politik baharu yang menampilkan integriti moral, keberanian berprinsip, dan keterhubungan dengan akar komuniti.

Mereka tidak semestinya memiliki pengaruh besar secara struktural, tetapi mereka memiliki legitimasi moral, suatu yang semakin jarang ditemui dalam politik Sabah kontemporari. Inilah yang disebut oleh Robert A Dahl (1971) sebagai moral credibility of power, kuasa yang diterima bukan kerana kekuatan institusi, tetapi kerana ketulusan peribadi dan kejelasan visi.

Dalam tinjauan tidak formal yang saya lakukan, banyak anak muda di Sabah menggambarkan harapan mereka terhadap tokoh-tokoh seperti ini sebagai “pemimpin yang boleh dipercayai untuk mendengar, bukan hanya bercakap.” 

Ungkapan itu membawa kita kepada konsep political efficacy yang diperkenalkan oleh Campbell, Gurin dan Miller (1954), kepercayaan bahawa tindakan politik individu boleh membawa kesan nyata terhadap sistem.

Apabila pengundi muda merasakan tiada saluran untuk suara mereka didengar, maka efficacy mereka melemah, dan mereka beralih mencari pemimpin yang mampu memulihkan semangat kepercayaan itu.

Kebangkitan watak-watak politik muda dan progresif ini mencerminkan proses peralihan penting dalam budaya politik Sabah. Jika politik tradisional berasaskan pertukaran janji, projek dan kedudukan, generasi baharu pengundi kini menilai berdasarkan inspirasi dan kejujuran. Mereka menghendaki pemimpin yang tidak sekadar “berjaya mentadbir”, tetapi berjiwa mendidik dan membimbing.

Inilah inti pati politik inspirasi: apabila kuasa digunakan bukan untuk mempertahankan dominasi, tetapi untuk menyalakan semula harapan. Sebagaimana ditegaskan oleh Pramoedya Ananta Toer dalam “Jalan raya pos” (1996), bahawa kekuasaan hanya bermakna apabila ia “membangunkan kapasiti manusia untuk bertindak bersama.”

Oleh itu, dalam konteks Sabah, pengundi muda kini bukan sekadar menuntut delivery pembangunan, tetapi juga delivery of dignity. Mereka ingin melihat keikhlasan, keberanian menegur, dan keupayaan memulihkan kepercayaan yang hilang akibat isu seperti Justice for Zara dan video rasuah yang tular. Bagi mereka, keadilan dan integriti bukan lagi agenda moral semata-mata, tetapi asas kelangsungan politik itu sendiri.

Syarat kepada masa depan

Jika PRN17 menyaksikan kemunculan semula kuasa lama tanpa pembaharuan moral, maka Sabah akan terus berhadapan dengan political fatigue. Namun, jika muncul calon dan tokoh yang dapat menyalurkan inspirasi baharu seperti yang diperlihatkan oleh beberapa nama muda dan sederhana tadi maka kita mungkin menyaksikan peralihan dari demokrasi keletihan kepada demokrasi kesedaran. Sebagaimana diingatkan oleh Syed Hussein Alatas (1999) dalam Corruption and the Destiny of Asia:

“Rasuah politik menandakan bukan keruntuhan sistem, tetapi keruntuhan makna tentang manusia dan tanggungjawab.”

Makna itulah yang kini sedang dicari oleh rakyat Sabah khususnya anak muda yang sudah “memakai semua baju” tetapi belum menemui pemimpin yang benar-benar menggerakkan jiwa. Dalam konteks inilah, PRN17 Sabah harus difahami dan ditanggapi, bukan hanya tentang siapa yang menang atau kalah, tetapi siapa yang berjaya menyalakan semula kepercayaan rakyat bahawa politik masih punya nilai yang murni.


ZAINI OTHMAN adalah felo kanan penyelidik, Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link