Malaysia Oversight

Semua ahli PSM akan bincang cadangan pakatan dengan PN

By MkiniBM in October 25, 2025 – Reading time 2 minute
Semua ahli PSM akan bincang cadangan pakatan dengan PN


Semua ahli PSM akan diberi peluang untuk membincangkan hala tuju masa depan parti itu, termasuk sama ada ia akan memeterai perjanjian dengan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang.

Ketika dihubungi, Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata ahli parti dari semua cabang di seluruh negara akan dijemput untuk menyertai perbincangan dalaman yang dijadualkan menjelang akhir tahun atau awal tahun depan.

“Ia hampir seperti mesyuarat agung tahunan, tetapi ia tidak dipanggil mesyuarat agung.

“PSM telah memutuskan di kongres kami (pada bulan Julai) untuk mengadakan perbincangan antara ahli,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal itu kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada ahli exco PSM Perak, K Kunasekaran, yang semalam dilaporkan menyeru parti itu untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan PN, dengan mengatakan ia tidak lagi boleh terus mengasingkan diri daripada dinamik politik yang menentukan dasar negara.

Portal dalam talian Free Malaysia Today memetik Kunasekaran sebagai berhujah bahawa menyertai pakatan untuk menyelaras kerusi dan mengelakkan pertembungan tiga penjuru tidak bermakna parti itu berkompromi dengan prinsip sosialisnya.

Jeyakumar hari ini menyatakan terdapat dua pandangan umum dalam kalangan ahli PSM, satu pihak menyokong kebimbangan Kunasekaran bahawa parti itu tidak akan berjaya dalam pilihan raya apabila bertanding sebagai entiti tunggal.

“Kini Pakaatan Harapan (PH) telah menolak kami dalam pilihan raya baru-baru ini…Memandangkan PN telah menjemput (untuk menyertai), terdapat cadangan untuk kami terima,” katanya merujuk kepada pakatan pembangkang yang lebih besar yang diusulkan oleh Bersatu sebagai pemimpin PN.

Hubungan antara PSM dan PH menjadi tegang sejak pilihan raya umum ke-15 yang lalu selepas pembangkang persekutuan ketika itu menolak permintaan Jeyakumar untuk bertanding semula di kerusi parlimen Sungai Siput.

Pada Julai 2023, PSM memeterai perjanjian rasmi dengan Muda – yang juga meninggalkan PH – untuk menghadapi enam pilihan raya negeri, satu pakatan yang kekal sehingga kini.

Mengulas lanjut, Jeyakumar berkata, “Pandangan lain ialah PSM harus kekal komited untuk membina kuasa ketiga, menegakkan prinsip seperti antipenswastaan, pengagihan kekayaan yang lebih adil, dan menjauhi sepenuhnya politik perkauman.”

“Walaupun ia bermakna kita tidak berjaya dalam pilihan raya akan datang, ia tidak penting,” katanya, sambil menambah bahawa peranan pemimpin parti dalam PSM adalah untuk memberi ahlinya masa yang cukup untuk berbincang dan membuat satu keputusan yang kemudiannya perlu diterima oleh semua.



Source link