Seorang pemimpin DAP tampil mengkritik ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, berhubung kenyataannya yang menyamakan situasi semasa Malaysia dengan Palestin, dan menyifatkan tindakan itu sebagai “melampau dan tidak boleh diterima”.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan, berkata hantaran Facebook Ahmad Marzuk — bertajuk “Belajar dari Sejarah Palestin: Jangan Kita Ulangi Kesilapan yang Sama” — secara palsu menggambarkan warga bukan Islam dan bukan bumiputera di Malaysia sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu-Islam.

Ahli Parlimen Bangi itu menegur Marzuk kerana menyamakan rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Islam dengan tindakan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kita semua bersatu menentang kezaliman Israel dan tindakan rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar batas manusiawi. Tiada pertikaian mengenai perkara ini.
“Tetapi, tindakan ahli parlimen PAS ini yang mengaitkan rakyat Malaysia bukan Islam dan bukan Melayu dengan apa yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin adalah melampau dan tidak boleh diterima,” katanya.
Marzuk dalam hantaran di Facebook semalam berkongsi petikan daripada ucapannya di Pengkalan Chepa, Kelantan, yang menyeru umat Islam supaya mengambil iktibar daripada sejarah Palestin, sambil memberi amaran bahawa “tanda-tanda itu sudah mula kelihatan di depan mata.”
“Bidang ekonomi kini semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera. Gedung-gedung besar, syarikat utama, dan tanah-tanah strategik sudah lama keluar dari genggaman umat Islam.
“Kini langkah mereka telah sampai ke Putrajaya, menggubal undang-undang, menulis akta, dan perlahan-lahan menata peta kuasa politik negara ini.
“Sejarah Palestin sedang menulis babak baharunya di bumi Malaysia jika kita terus lena,” kata Ahmad Marzuk.
Dia seterusnya mendakwa atas sebab itulah, amanah besar PAS adalah untuk memperbetulkan penyelewengan, menegakkan keadilan, dan mempertahankan dominasi politik Islam serta Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, Syahredzan mengingatkan PAS bahawa Malaysia dibina melalui kerjasama semua kaum dan agama, serta menegaskan bahawa Ahmad Marzuk tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan keikhlasan bukan Melayu dan Islam “demi politik sempit mereka”.
“Orang bukan Melayu dan bukan Islam telah bersama-sama dengan orang Melayu dan Muslim untuk membina negara kita yang tercinta ini,” katanya.
Syahredzan turut mengingatkan pemimpin PAS bahawa rakyat Malaysia baru sahaja menyambut perayaan Deepavali dalam semangat kebersamaan dan muhibah sambil menggesa orang ramai menolak politik perpecahan.
“Malangnya, pemimpin PAS seperti Datuk Marzuk sanggup memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan Islam sebagai musuh dalam selimut yang mempunyai agenda jahat terhadap orang Melayu dan Muslim.

“Jelas bahawa PAS masih membawa perkauman sempit dan memecahbelahkan masyarakat. Rakyat Malaysia yang mencintai negara kita yang berbilang bangsa diseru untuk menolak politik lapuk seperti ini,” katanya.
Sehubungan itu, Syahredzan mencabar rakan-rakan politik PAS dalam Perikatan Nasional, serta sekutu lain mereka dalam gagasan longgar ‘Ikatan Prihatin Rakyat’ untuk menyatakan pendirian mengenai apa yang disuarakan Ahmad Marzuk itu.






