Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli membuat perbandingan antara bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Bagi Anwar, semoga senario kes terbaik untuknya, apa pun yang berlaku, satu hari nanti orang akan ingat dia seperti (orang ingat) Abdullah.
“Maksudnya (mereka akan berkata), ‘sebenarnya, mungkin kita tidak cukup berterima kasih atas jasanya’,” kata Rafizi pada episod terbaru podcast Yang Berhenti Menteri malam tadi.
Selepas Abdullah meninggal dunia, Sasterawan Kewartawanan Negara Johan Jaafar berkata allahyarham adalah perdana menteri yang paling kurang difahami dan mungkin paling kurang diberi pengiktirafan dalam sejarah politik negara.
Pentadbiran Abdullah atau mesra dikenali Pak Lah, membawa kepada penubuhan SPRM serta penggubalan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Bagaimanapun, dia dikritik kerana bergantung kepada penasihat yang digelar “budak tingkat empat” – sekumpulan lelaki muda yang pernah menduduki tingkat empat Perdana Putra, diketuai oleh menantunya Khairy Jamaluddin.
Dia juga mengingkari janji untuk membentuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis selepas mendapat tentangan daripada pihak polis.
Mengulas lanjut, Rafizi menamakan kes bekas setiausaha Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebagai potensi tamparan kepada imej Anwar.
Dia turut mengkritik jawapan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan terhadap pembangkang dan penyokong kerajaan selepas perbahasan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan.
“Soalan-soalan itu adalah sah. Dia (Amir) hanya ada satu jawapan sahaja: ‘Ini adalah penambahbaikan. Ini dah baik berbanding dgn status quo.’
“(Jawapan seperti) itu berbahaya. Kalau kita bercakap kepada rakyat, terutamanya pengundi PH sendiri bahawa kalau kerajaan buat sesuatu, apa kau nak complain? Ini kan dah lebih baik.
“Itulah yang berlaku semasa zaman Abdullah dan sekarang ini sedang berlaku kerana jangkaan dan harapan rakyat itu berbeza. Kita tak boleh nak kata, hanya kerana kita baik sedikit, kita sudah terbaik,” katanya.
Selain itu, dia melabelkan mobiliti sosial sebagai isu yang semakin mendesak yang perlu ditangani negara tidak lama lagi.
Ketidakpuasan hati yang berpunca daripada kekurangan mobiliti sosial boleh menjadikan orang ramai ke arah populisme, katanya sambil menamakan pemilihan semula Donald Trump menjadi presiden AS sebagai contoh.
Dia mendakwa wujud perasaan positif di Malaysia, termasuk berbangga menjadi sebahagian daripada negara, pada era 90-an kerana tahap mobiliti sosial yang baik.
“Itulah sebabnya terdapat lebih sedikit isu perkauman (pada masa itu),” tambah bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menjadi tetamu di podcast itu.
Rafizi berkata sebahagian daripada masalahnya ialah Malaysia bermula pada tahap yang lebih tinggi, setelah berjaya memindahkan banyak isi rumah ke kelas pertengahan.
Satu lagi isu yang perlu ditangani bagi menyelesaikan masalah itu terletak pada struktur ekonomi Malaysia, katanya.
“Kenapa ada masalah struktur? Dia kembali kepada tekad politik, sistem, dari segi regulation, budaya politik, rasuah dan sebagainya.
“… bila kita kupas lapis demi lapis, ia kembali kepada kerajaan sebenarnya,” katanya.
Dia seterusnya menyatakan pendapatnya bahawa politik perkauman bukanlah benar-benar mengenai politik, tetapi lebih kepada kegelisahan ekonomi, yang membawa kembali kepada kekurangan mobiliti sosial hari ini.
Dia menjadikan dirinya dan Nik Nazmi sebagai contoh orang Melayu yang tidak mempunyai ideologi perkauman kerana status ekonomi mereka, setelah mencapai mobiliti sosial.
“Anda boleh memberi (rakyat) wang tetapi ia tidak akan melengahkan bom jangka, iaitu untuk memperbaiki mobiliti sosial kita melalui reformasi struktur untuk ekonomi.
“Dan itu adalah pil pahit yang perlu kita telan.
“Tetapi itu juga satu cabaran bagi kita dalam kerajaan,” katanya.