Malaysia Oversight

Semoga ada penawar duka Harimau Malaya di Vientiane

By MkiniBM in October 8, 2025 – Reading time 4 minute
Semoga ada penawar duka Harimau Malaya di Vientiane


ULASAN SUKAN | Tidak dinafikan yang skuad Harimau Malaya bakal menentang Laos dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 malam esok bermain dalam situasi minda yang tidak tenteram.

Hal itu kerana bola sepak tanah air bergolak dalam menangani satu krisis besar pada saat ini.

Jadi, tidak hairanlah betapa perlawanan penting di Vientiane itu nampak bakal dibayangi episod panas iaitu tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menghukum FAM.

Sudah tentu ia bukan detik yang diinginkan oleh Peter Cklamovski dan anak buahnya ketika mereka turun padang mengharungi saingan itu selaku pendahulu Kumpulan F.

Mungkinkah fokus mereka terganggu?

Apa pun, pemain dan pegawai pasukan kita tiada pilihan kecuali bersatu dan memperteguh minda masing-masing bagi mengilhamkan kejayaan bagi membawa pulang tiga mata penuh.

Ketika FAM difahamkan sedang meniti ‘detik kekalahan’ kepada Fifa, apa yang didepani Harimau Malaya di Vientiane nanti adalah cabaran besar. Mereka perlu terus mengekalkan rentak kemenangan pada saat menanggung duka.

Media tempatan pun memberi liputan sederhana mengenai perlawanan menentang Laos. Tidak salah. Ini kerana mereka memusatkan tumpuan dan tenaga mengejar bahan berita terkini yang semakin panas selepas FAM didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa.

Kelmarin, Fifa mendedahkan maklumat penuh berkaitan keputusan mereka untuk menghukum FAM dan tujuh pemain warisan selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran.

Terpinggir selama setahun

Perkembangan itu juga mengajak kita melihat bagaimana pula gelagat penyokong tegar skuad negara. Apakah mereka ghairah melihat satu lagi kemenangan atau – yang perit – mula lesu atau kurang bersemangat menanti keputusan perlawanan menentang Laos nanti.

Nampaknya emosi, marah dan malu belum terpadam lagi daripada peminat di sebalik sayangnya mereka Harimau Malaysia. Mereka hanya mengecam FAM serta tujuh pemain warisan baru yang sudah mencalar imej negara.

Ringkasnya, peminat bola sepak negara rasa terhina dan tertipu.

Tempoh hari, Fifa mempertahankan siasatan mereka apabila jawatankuasa disiplin mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek tujuh pemain terbabit yang dikemukakan FAM tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.

Badan induk itu menjelaskan semua maklumat tersebut disahkan melalui semakan rasmi dan tiada bukti sahih menunjukkan kaitan langsung dengan Malaysia.

7e1a5b97a88207b883b5cec0f25dcc43

Sebaliknya, nenek atau datuk mereka itu dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda – bukan di Melaka, Johor, Pulau Pinang atau Kuching.

Hukuman tersebut menyebabkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel terpinggir daripada aksi bola sepak selama 12 bulan.

Mereka tidak akan bersama Harimau Malaya untuk melayan Laos malam esok, sebaliknya mungkin sekadar menggilap kasut masing-masing sambil merenung nasib malang yang menimpa.

Cklamovski difahamkan akan mengekalkan 22 pemain skuad yang menentang Singapura dan Palestin pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 4 dan 8 Sept lalu.

Bagi mengisi kekosongan ditinggalkan tujuh pemain warisan itu, ketua jurulatih dari Australia itu membawa masuk dua pemain dari skuad B-23 iaitu Aliff Izwan Yuslan dan Muhammad Ubaidullah Shamsul.

Rekod baik dengan Laos

Cklamovski juga menyelitkan tiga wajah baru – Declan Lambert, Jordan Mintah dan Muhammad Ramadhan Saifullah – dengan harapan mereka dapat berfungsi dan memberi keseimbangan kepada pasukan.

Kem latihan akan disambung semula pada 10 hingga 13 Okt sebagai persediaan perlawanan timbal balik menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Okt.

Perlawanan itu nanti juga menghidangkan peluang terbaik untuk pemain negara – khususnya anak tempatan – membuktikan nilai dan kemampuan masing-masing.

Ini detik bagi mereka memperbaiki kemahiran masing-masing dengan mendapat minit permainan lebih baik dan melakar nama. Saingan di Vientiane bakal memberi gambaran awal apakah mereka memiliki prospek untuk menjadi tonggak pasukan satu hari nanti atau sebaliknya.

Sedikit rasa ceria ialah statistik pencapaian skuad negara ke atas lawan bergelar Million Elephants itu pada lima perlawanan terakhir menunjukkan kita gah memenangi semua saingan berkenaan.

db1fbfc48151c77925aa1d9178b3a2dc

Jadi, tiga mata tampak tidak mustahil dituai walaupun bermain di tempat lawan berpandukan kepada rekod baik tersebut.

Mengerti krisis yang melanda bola sepak Malaysia, Laos juga pasti akan hadir dengan persiapan lebih mantap. Mereka tentu mahu mengaut kesempatan dalam situasi semasa dan mencari jalan mengejutkan pelawat di hadapan penyokong mereka.

Difahamkan, ketua jurulatihnya, Ha Hyeok-jun, akan menurunkan tiga pemain berpangkalan di Eropah dan AS.

Mereka ialah Roman Anousone Angot yang beraksi bersama kelab SV Linx di Divisyen 6 liga Jerman, Victor Ngovinassack (kelab Is-Selongey dalam divisyen 6 liga Perancis), dan Theo Klein (Universiti Omaha Mavericks di AS).

Kita menangis, orang ketawa

Angot merupakan pemain tengah dengan ketinggian 1.84 meter dan sudah menjaringkan empat gol dan dua bantuan gol dalam 19 perlawanan musim ini.

Pun begitu, Harimau Malaya tetap memiliki kekuatan sekalipun tanpa tujuh pemain warisan. Krisis semasa sepatutnya bukan sesuatu yang harus menyentap cabaran negara.

Kita masih ada khidmat penyerang tempatan terbaik negara, Arif Aiman, Faisal Halim dan Sapawi Rashid untuk menggerakkan jentera serangan. Begitu juga pemain naturalisasi, Romel Morales, yang dianggap senjata utama Harimau Malaya untuk mecari peluang jaringan.

Misi menjaga benteng pasukan juga akan terus dipikul baik oleh kapten, Dion Cools dan Corbin Ong serta Dominic Tan.

Tanggapan bahawa kelompok yang ada ‘masih belum mencukupi ramuan’ adalah antara sebab kenapa FAM bertindak ghairah mendapatkan tujuh pemain warisan untuk memantapkan lagi skuad negara.

Niat besar adalah untuk melihat barisan baru itu layak ke pusingan akhir Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.

Dalam proses itulah berlaku pula ‘kesilapan teknikal’. Akhirnya, kita yang nampak menangis dan orang luar pula ketawa.

Semoga kemenangan ke atas Laos nanti dapat memberi sedikit ruang nafas lega kepada FAM sebelum berdepan dengan Fifa dalam proses rayuan.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link