Malaysia Oversight

Sembilan rakyat Malaysia tiba di Istanbul

By MkiniBM in October 10, 2025 – Reading time 1 minute
Sembilan rakyat Malaysia tiba di Istanbul


Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah dibebaskan pada Jumaat, menurut Kementerian Luar.

Dalam satu kenyataan, kementerian mengesahkan bahawa kesemua mereka telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turkiye, pada pukul 2.30 petang (waktu tempatan) atau 7.30 malam (waktu Malaysia).

“Mereka akan menjalani penilaian kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum pulang ke Malaysia dalam beberapa hari akan datang,” menurut kementerian.

Kementerian turut merakamkan penghargaan mendalam Malaysia kepada Turkiye dan rakan-rakan kerjasama yang lain atas bantuan dan sokongan penting yang membawa kepada pembebasan serta penghantaran pulang rakyat Malaysia dengan segera.

“Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Malaysia,” katanya lagi.

Misi kemanusiaan FFC dan TMTG melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara menaiki sembilan kapal, termasuk Conscience dan Umm Saad, yang telah dipintas oleh tentera Israel pada Rabu (8 Okt) ketika berada kurang daripada 120 batu nautika dari Gaza.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah ketua delegasi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil. Seorang lagi doktor perubatan Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di atas kapal Umm Saad.

Bernama



Source link