ULASAN | Semangat patriotik bukan sekadar berkibar bersama Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu kebangsaan setiap minggu. Patriotisme yang sebenar adalah rasa cinta yang mendalam terhadap negara, yang dizahirkan melalui sikap hormat-menghormati, tolong-menolong, toleransi dan semangat perpaduan.
Nilai-nilai ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah kerana di sinilah bermulanya pembentukan jati diri generasi masa depan.
Namun, realitinya isu buli di sekolah masih menjadi masalah yang membimbangkan. Kes-kes yang tular di media sosial jelas menunjukkan betapa seriusnya masalah ini sehingga menjejaskan keselamatan, emosi dan masa depan pelajar. Buli bukan sahaja menyebabkan trauma kepada mangsa, malah boleh meruntuhkan reputasi institusi pendidikan.
Lebih membimbangkan, budaya ini berpotensi melahirkan generasi yang hilang nilai kemanusiaan jika tidak dibendung dari awal.
Patriotisme sebagai asas pencegahan buli
Patriotisme yang sebenar melibatkan kesedaran bahawa setiap rakyat adalah sebahagian daripada keluarga besar negara. Pelajar yang mempunyai semangat patriotik akan memahami bahawa membuli rakan sekolah adalah tindakan yang merosakkan hubungan persaudaraan, melemahkan semangat setiakawan, dan secara tidak langsung melemahkan kekuatan negara.
Apabila pelajar diajar menghormati kepelbagaian bangsa, bahasa dan budaya di sekolah, mereka akan lebih menghargai persamaan yang menyatukan, bukan perbezaan yang memisahkan. Nilai ini amat penting untuk mencegah perbuatan buli yang sering berpunca daripada rasa ingin berkuasa, prejudis atau sikap mementingkan diri.
Patriotisme tidak hanya terhad kepada perarakan Hari Kebangsaan atau pertandingan deklamasi sajak. Ia perlu menjadi sebahagian daripada budaya sekolah, diterapkan melalui pergaulan, bahasa, tingkah laku dan aktiviti seharian pelajar.

Peranan sekolah dan guru
Sekolah merupakan institusi utama dalam membentuk karakter pelajar. Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu akademik, tetapi juga berperanan sebagai pembimbing moral dan teladan akhlak. Program pendidikan sivik, aktiviti kokurikulum dan kempen anti-buli perlu disemarakkan dengan menekankan unsur patriotisme.
Contohnya, program perkhemahan berasaskan kerja berpasukan, aktiviti khidmat masyarakat, dan projek kesukarelawanan boleh mengajar pelajar tentang pentingnya tolong-menolong, bekerjasama dan menghormati orang lain. Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah atau menyantuni warga emas di rumah kebajikan mampu membina rasa tanggungjawab dan empati dalam diri pelajar.
Selain itu, sekolah juga boleh mengadakan ‘Hari Patriotisme’ yang mana pelajar bukan sahaja mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang, tetapi juga terlibat dalam aktiviti seperti forum nilai murni, tayangan video anti-buli dan simulasi situasi untuk membina empati terhadap mangsa buli.
Penglibatan ibu bapa dan komuniti
Ibu bapa memainkan peranan besar dalam memupuk semangat patriotik di rumah. Didikan yang menekankan nilai hormat, empati dan disiplin akan menjadi benteng awal untuk menghalang anak-anak daripada terlibat dalam perbuatan buli.
Perbualan santai di meja makan tentang pentingnya menghargai rakan dan menghormati orang lain boleh memberi kesan yang besar kepada minda anak-anak.
Komuniti setempat juga boleh menganjurkan program kesedaran anti-buli yang melibatkan pelajar, ibu bapa dan guru.
Contohnya, program Walk Against Bullying yang menggabungkan elemen patriotisme seperti nyanyian lagu-lagu kebangsaan atau bacaan ikrar pelajar sebelum berarak membawa mesej anti-buli.
Peranan media dan rakan sebaya
Media massa, khususnya media sosial, boleh digunakan sebagai saluran positif untuk mempromosikan mesej patriotisme dan anti-buli.
Video, poster dan kempen kreatif yang mengetengahkan kisah inspirasi pelajar membantu rakan sebaya boleh memberi kesan yang lebih mendalam berbanding ceramah semata-mata.
Pelajar yang menjadi “hero” dengan mempertahankan rakan daripada dibuli perlu diangkat sebagai teladan melalui laporan berita atau dokumentasi sekolah.
Apabila pelajar melihat rakan mereka menjadi agen perubahan, ia akan mendorong mereka untuk mencontohi sikap tersebut.

Menghubungkan patriotisme dan disiplin
Seorang pelajar yang memiliki semangat patriotik akan sentiasa mematuhi peraturan sekolah kerana mereka memahami bahawa disiplin bukan sekadar arahan daripada guru atau pihak pentadbir, tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang warganegara yang baik.
Nilai patuh kepada undang-undang yang diterapkan di sekolah adalah asas yang sama digunakan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Apabila pelajar menjaga nama baik sekolah, ia secara tidak langsung mencerminkan rasa hormat terhadap institusi pendidikan yang menjadi tempat mereka menimba ilmu, sekali gus menjaga imej negara di mata masyarakat.
Pelajar yang mengamalkan semangat patriotisme akan menolak sebarang bentuk buli kerana perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar peraturan sekolah, malah mencemarkan keharmonian, mengganggu kesejahteraan rakan-rakan dan menjejaskan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara.
Sekolah bebas buli, negara lebih harmoni
Buli adalah masalah yang bukan sahaja menjejaskan mangsa, malah menggugat keselamatan dan keharmonian masyarakat.
Pencegahan buli memerlukan usaha bersama semua pihak, sekolah, ibu bapa, rakan sebaya, media dan komuniti untuk menanam nilai patriotisme yang tulen.
Pelajar yang benar-benar berjiwa patriotik akan memahami bahawa rakan sekolah mereka adalah saudara sebangsa atau sebangsa Malaysia yang perlu dihormati dan dilindungi. Semangat ini menjadi benteng yang kukuh untuk membentuk generasi berdisiplin, berakhlak mulia dan bersatu padu demi masa depan negara.
Jika kita mahu melihat Malaysia terus aman, makmur dan maju, usaha membentuk generasi pelajar yang bebas daripada budaya buli perlu dimulakan sekarang.
Patriotisme bukan hanya tentang melaungkan slogan “Saya Anak Malaysia,” tetapi mengamalkan nilai hormat, kasih sayang dan persaudaraan dalam setiap aspek kehidupan termasuk di sekolah.
Dengan semangat patriotik yang utuh, kita bukan sahaja dapat melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik, malah membina insan yang berjiwa besar, berfikiran matang dan sanggup mempertahankan keharmonian negara. Sekolah bebas buli adalah cerminan negara yang kuat, dan negara yang kuat bermula daripada hati rakyatnya yang saling menghormati.
NUR YUHANIS ISMON merupakan pensyarah kanan Jabatan Pengurusan Harta Tanah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.