Malaysia Oversight

Seludup ungka, kura-kura di KLIA

By MkiniBM in April 30, 2025 – Reading time 3 minute
Seludup ungka, kura-kura di KLIA


Seorang warganegara India yang cuba membawa tujuh haiwan pelbagai spesies dalam bagasi daftar masuk dari Kuala Lumpur ke Tamil Nadu didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.

Dinesh Kumar Selvam, dari Ramanathan, Tamil Nadu, India, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan dalam bahasa Tamil kerana pelajar asing berusia 21 tahun itu tidak memahami bahasa Inggeris.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa cuba mengeksport seekor anak ungka tangan panjang (infant agile gibbon), yang merupakan spesies dilindungi di bawah Akta, tanpa permit khas.

2ba098c0134df302ee29ab7fd3a4c000

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa cuba mengeksport enam ekor kura-kura albino berkepala kuning (albino yellow-headed temple turtles), yang juga merupakan spesies dilindungi, tanpa permit khas.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pintu C34, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, , pada jam 7.15 malam, 20 April 2025.

Dinesh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), yang boleh dihukum di bawah akta sama, bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seksyen 71 memperuntukkan hukuman denda RM20,000 bagi setiap haiwan, tidak melebihi jumlah keseluruhan RM1 juta, dan penjara tidak melebihi tujuh tahun enam bulan.

8dcff0e07f601819d704a8901adc82fc

Sementara itu, Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi separuh dari tempoh hukuman maksimum bagi kesalahan yang lengkap.

Hakim Ahmad Fuad menetapkan 13 Mei tarikh sebutan kes untuk permohonan jaminan.

Dinesh diwakili peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie manakala pendakwaan dikendalikan oleh Nazarudin Kamarudin.

Kes serupa libat warga India

Pada 23 April lalu, Abdul Jaffar Mohideen Abdul Kadar dari Panpoli, Tamil Nadu, India, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan utama dan empat pertuduhan alternatif di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di Mahkamah Sesyen Sepang.

Warganegara India berusia 50 tahun it, yang bekerja sebagai buruh binaan di Malaysia selama 18 tahun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Dia ditahan pihak berkuasa bersama haiwan-haiwan terbabit di Pintu H8, Terminal 1 KLIA, pada jam 9 malam, 15 April.

84662bab537095264f92b50d632975c4

Abdul Jaffar ditangkap bersama lima biawak harlequin, empat kura-kura hutan Sulawesi, tiga kura-kura taji Afrika dan dua biawak lace di dalam bagasinya semasa dalam perjalanan ke Tamil Nadu.

Dia turut diwakili peguam Khairunnisa manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir.

Hakim Ahmad Fuad menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 27 Mei sebagai tarikh sebutan kes.

Malaysia hub seludup hidupan liar

Perhilitan beberapa kali memberi amaran agar orang awam tidak menyimpan haiwan liar secara haram atau terlibat dalam jenayah hidupan liar, dan menyeru semua pihak yang terlibat agar menghentikan aktiviti itu atau berdepan tindakan tegas.

Orang awam boleh membantu usaha penguatkuasaan terhadap perdagangan atau penyeludupan hidupan liar dengan menyalurkan maklumat kepada Perhilitan menerusi talian hotline 1800-88-5151 atau laman sesawang rasmi mereka.

Malaysia dianggap sebagai pintu transit utama penyeludupan haiwan terancam ke negara lain di Asia.

5cbb32f1da0ca99270c4abd1748e73c3

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegur Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan peningkatan kes penyeludupan hidupan liar keluar dari negara ini.

Dia menyifatkan isu itu sangat serius dan menggesa pengendali lapangan terbang mengambil langkah segera bagi menanganinya.

Bagasi daftar masuk di bawah bidang kuasa perkhidmatan pengendalian bagasi MAHB, bukan Jabatan Kastam.

[Baca berita asal]



Source link