Malaysia Oversight

‘Selidik dulu apakah Amanah calonkan Mujahid sebagai menteri agama’

By MkiniBM in December 18, 2025 – Reading time 2 minute
'Selidik dulu apakah Amanah calonkan Mujahid sebagai menteri agama'


Ahli Jawatankuasa Exco Pemuda Amanah, Ahmad Azri Abdullah sepatutnya menyemak terlebih dahulu apakah parti itu mengemukakan nama Mujahid Yusof sebagai calon menteri hal ehwal agama, kata Raja Bahrin Shah.

Ini susulan dakwaan Ahmad Azri bahawa Perdana Menteri, Ibrahim “meminggirkan” parti itu dalam senarai lantikan kabinet.

“Sekiranya nama Mujahid telah dikemukakan oleh Amanah, besar kemungkinan beliau boleh dilantik semula sebagai Menteri Hal Ehwal Agama berdasarkan pengalaman dan rekod beliau sebagai menteri penuh sebelum ini, bukannya sebagai timbalan menteri seperti cadangan Ahmad Azri.

“Ahmad Azri perlu selidik kerana masalahnya mungkin bukan terletak pada Pejabat Perdana Menteri,” kata Raja Bahrin yang juga pengerusi Biro Antarabangsa Amanah dalam kenyataan.

Tegasnya, tuduhan Ahmad Azri bahawa perdana menteri meminggirkan Amanah dalam pelantikan jawatan itu juga menunjukkan kurang fahamnya terhadap protokol dan prosedur dalaman antara parti.

“Dari segi protokol, Datuk Seri lazimnya akan bergantung kepada senarai calon menteri yang dikemukakan oleh parti Amanah sendiri untuk dipertimbangkan,” tambahnya.

Semalam Ahmad Azri mempersoalkan tindakan menamakan Senator Zulkifli Hasan dan aktivis Marhamah Rosli, masing-masing sebagai menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sambil menyifatkan pelantikan itu ibarat ‘satu pelempang’ buat Amanah, Azri berkata boleh memilih pemimpinnya seperti Mujahid, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat atau Ketua Pemuda Hasbie Muda.

Kata Raja Bahrin, cadangan agar Mujahid dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama juga menunjukkan kurang hormat Ahmad Azri terhadap pengalaman dan kedudukannya sebagai bekas menteri penuh di kementerian berkenaan.

“Memandangkan Mujahid ialah Timbalan Presiden Amanah, bekas menteri dan senator, cadangan tersebut adalah satu tindakan yang sangat tidak menghormati parti Amanah dan PH sendiri apabila Ahmad Azri mencadangkan pelantikan yang lebih rendah, sedangkan Mujahid mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat agama di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam rombakan kabinet baru-baru ini, Anwar mengekalkan semua pemimpin Amanah – presiden parti Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan) dan naib presiden Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan).

Turut dikekalkan ialah naib presiden Adly Zahari (pertahanan) dan Ketua Wanita Athirah Sabu (perumahaan dan tempatan).



Source link