Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa membuat keputusan segera sama ada akan mendakwa enam lagi Adun yang terbabit dalam skandal perlombongan Sabah sebelum DUN dibubarkan untuk pilihan raya negeri (PRN).
Dengan PRN semakin hampir, Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman menegaskan bahawa kejelasan adalah penting sebelum pengundi menuju ke peti undi.
“Siasatan dan pendakwaan terhadap lapan Adun dan seorang speaker DUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terpalit dalam skandal video rasuah didedahkan sejak bulan November tahun lalu mesti berakhir sebelum PRN Sabah ke-17 diadakan.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui semua kebenaran berkenaan kes tersebut supaya menjadi bijak dan rasional untuk mengenal pasti bagi membuat pilihan siapa dan parti mana yang lebih jujur, berupaya dan beramanah untuk memimpin kerajaan negeri yang baru,” katanya dalam satu kenyataan.
Rosman mengulas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang mendedahkan bahawa dua daripada lapan ahli politik itu – Andy Suryandy Bandy dan Yusof Yacob – telah didakwa, dengan baki enam masih menunggu keputusan daripada pihak pendakwa.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata pendakwaan terhadap enam Adun itu tidak boleh bergantung kepada khabar angin semata-mata.
Kenyataannya itu mendapat kritikan tajam daripada ahli perniagaan Albert Tei, yang juga pemberi maklumat yang mendedahkan skandal berkenaan.
Tei menafikan tanggapan Anwar bahawa hanya video diserahkan kepada SPRM, dan menegaskan bahawa dia telah menyerahkan dokumen melebihi 300 muka surat.
“Bukan hanya video, tetapi jejak wang, rekod bank, dokumen, surat-menyurat bertulis dan lokasi tertentu. Setiap butiran disusun, disahkan secara silang dan diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Saya juga menyerahkan telefon bimbit saya, yang mengandungi perbualan WhatsApp dengan Adun, kepada SPRM,” katanya.
Adun yang terlibat daripada GRS, yang merupakan sekutu Pakatan Harapan, termasuk Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Negeri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Arifin Arif, yang juga menantu Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kadzim Yahya.
Ahli politik lain ialah Masiung Banah (Adun Kuamut) dan Arsad Bistari (Adun Tempasuk).
Pada Jun, enam lagi pemimpin tertinggi parti daripada GRS dikaitkan dengan skandal itu. Bagaimanapun, SPRM tidak mengulas mengenai pendedahan ini walaupun parti pembangkang di Sabah menggesa siasatan dijalankan.