Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggesa orang ramai menyelesaikan saman tertunggak mereka dalam tempoh diskaun dua bulan yang ditawarkan sehingga 30 Disember ini, atau berisiko disenarai hitam.
Katanya lebih 5.5 juta saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih belum diselesaikan.
“Selepas 1 Januari 2026, kalau masih ada saman tertunggak yang belum dijelaskan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta lesen memandu boleh disenarai hitam.
“Maksudnya, mereka tak boleh memperbaharui LKM mereka dan ini akan diintegrasikan dalam sistem MySikap,” katanya.
Loke berkata jumlah saman tertinggi di bawah Notis JPJ (P) 22 dengan 3,685,164 saman tertunggak, diikuti kompaun melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dengan 1,387,384; Notis 114 (297,382), Notis 115 (161,669) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (6,409).
Jelasnya lagi,pengguna jalan raya yang mempunyai saman tertunggak mempunyai tempoh sehingga 30 Disember depan untuk melunaskan semua saman tertunggak, dengan diskaun sebanyak 50 peratus dan selepas tamat tempoh berkenaan, JPJ akan melaksanakan tindakan mahkamah serta senarai hitam.






