PKR akan meneruskan pemilihan peringkat pusat parti bulan depan selepas selesai pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam, mengesahkan para perwakilan akan berhimpun untuk memilih kepimpinan tertinggi semasa Kongres Nasional selama tiga hari bermula 23 Mei ini di Johor.
“Kongres Nasional 2025 akan buat pertama kalinya mengguna pakai konsep perwakilan berkadar untuk perwakilan, seperti yang telah diluluskan dalam kongres khas pada15 Disember tahun lalu.
“Segala persiapan Kongres Nasional 2025 sedang berjalan lancar dan semua perwakilan yang layak akan di maklumkan dalam masa terdekat,” kata Fuziah.
Pemilihan peringkat pusat PKR juga merangkumi kepimpinan tertinggi sayap pemuda dan wanita.

Sebelum mesyuarat semalam yang diadakan di kediaman rasmi perdana menteri, timbul spekulasi mengenai perbincangan yang dijangka berkisar kepada isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan pemilihan peringkat cabang.
Walaupun kenyataan Fuziah tidak merujuk kepada sebarang aduan yang dilaporkan, termasuk dakwaan manipulasi data, dia berkata mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam, telah membuat keputusan mengenai satu dasar penting.
“Seseorang ahli setelah menjadi calon pemilihan dan kemudiannya didapati telah menjadi ahli mana-mana parti lain, akan di gugurkan keanggotaan serta hilang kelayakan untuk menjadi calon dan terbatal pencalonan mereka,” katanya sambil membayangkan jawatankuasa pemilihan parti akan mendedahkan nama-nama yang terlibat.
Kata Fuziah lagi, Kongres Nasional dijangka menyaksikan kehadiran kira-kira 10,000 perwakilan, manakala lebih 20,000 perwakilan akan mengundi secara dalam talian.
“MPP juga memutuskan sebilangan perwakilan yang wajib hadir fizikal dari kalangan ahli jawatankuasa cabang di Sabah dan Sarawak, boleh hadir sebagai perwakilan serta mengundi di pusat undian satelit di Kuching dan Kota Kinabalu.
“Ini bagi memberi kemudahan kepada perwakilan di Sabah dan Sarawak yang perlu mengundi fizikal untuk mengundi serta mengikuti perjalanan Kongres Nasional 2025 dari jauh,” katanya.
Senarai perwakilan jawatankuasa cabang dari Sabah dan Sarawak yang akan mengundi secara fizikal di kongres akan diumumkan nanti, katanya lagi.
Kongres Nasional PKR pada asalnya dijadual berlangsung pada 14 dan 15 Disember tahun lalu di Johor tetapi ditangguhkan berikutan banjir di beberapa negeri termasuk negeri itu.