KANGAR: Jika sebelum ini mencari ‘Sarjan Hassan’ melibatkan barisan hadapan, terbaharu misi mencari Che’Gu Shaari dan Che’Gu Murni pula dilaksanakan dengan kali ini bagi meraikan guru-guru di Parlimen Kangar bersempena Karnival Sepak Penalti dan Netball Shooting Challenge 2025 di Padang Bandaran di sini baru-baru ini.
Karnival anjuran Malaysian Volunteers Organisation (MYVO) dan Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri itu melibatkan penyertaan 37 pasukan untuk sepakan penalti dan 25 pasukan bagi bola jaring.
Ia diadakan khusus buat warga pendidik di Kangar dengan keseluruhan membabitkan lebih 300 peserta yang begitu teruja menyertai kejohanan berlangsung cukup meriah.
Selain sepakan penalti dan bola jaring, pelbagai aktiviti lain turut menyerikan karnival tersebut seperti pertandingan mewarna kanak-kanak dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Penaung MYVO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, karnival tersebut diadakan khusus bagi menghargai warga pendidik di kawasan ini selain menerapkan gaya hidup sihat dan aktif.
Beliau berkata, karnival berkenaan juga adalah rentetan daripada kejayaan penganjuran Karnival Sepak Penalti untuk petugas barisan hadapan bagi mencari ‘Sarjan Hassan’ sebelum ini.
“Program mencari ‘Che’Gu’ Shaari dan ‘Che’Gu’ Murni membabitkan penglibatan bersama warga pendidik dan Jabatan Pendidikan negeri. Komitmen dengan dengan guru-guru dan warga pendidik ini telah sejak sekian lama kita adakan.
“Cuma kali ini kita laksanakan dengan skala lebih besar dengan menjemput cikgu-cikgu, pekerja di jabatan dan pekerja-pekerja di sekolah bagi bersama menyertai karnival ini.
“Program ini juga dijayakan hasil kerjasama Jabatan Pendidikan negeri, Pertubuhan Sukarelawan Malaysia, Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Abata,” katanya di sini baru-baru ini.
Karnival berkenaan membabitkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 selain pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik.-UTUSAN






