Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri akan mempercepat pelaksanaan beberapa langkah keselamatan susulan insiden tragik pembunuhan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Amirudin memaklumkan antara langkah yang akan diambil ialah pendaftaran pelajar di sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) serta sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah.
“Proses ini akan melibatkan perbincangan bersama para ibu bapa sekolah tersebut dan merangkumi Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Amirudin berkata, kematian Yap Shing Xuen, 16, telah meninggalkan kesan trauma kepada para pelajar, terutamanya mereka yang menyaksikan jenayah tersebut, sehingga menyebabkan kehadiran ke sekolah itu menurun beberapa hari kebelakangan ini.
Bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru dan pelajar, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru dan pelajar bagi membincangkan penambahbaikan aspek keselamatan berkenaan.
“Insiden sebegini tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Semalam, ibu kepada Yap, Wong Lee Ping, mendedahkan anak perempuannya dipercayai ditikam sebanyak 200 kali.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, mengesahkan suspek yang berusia 14 tahun dan rakan sekolah mangsa — sedang menjalani sesi kaunseling berkaitan prestasi akademik dan bukan rawatan psikologi.






