PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) mahu melupakan kekecewaan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dengan meraih kemenangan ke atas Kuching City dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, malam ini.
Menyedari cabaran beraksi di gelanggang lawan dengan tempoh rehat singkat, pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi tetap menuntut anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi untuk membawa pulang tiga mata berharga.
Menurut Kinoshi, kepadatan jadual serta saiz skuad yang terhad menyulitkan beliau melakukan penggiliran pemain, apatah lagi pada masa sama perlu memastikan mereka kekal cergas dan bebas daripada kecederaan
“Pada perlawanan ini, ia akan beri saya lebih cabaran dalam membuat keputusan siapa pemain akan memulakan perlawanan. Kami akan terus berjuang walaupun kami tewas dan motivasi sedikit terjejas.
“Kami sentiasa memberi fokus dalam setiap perlawanan dan sasaran mengutip tiga mata menjadi keutamaan, dan dalam masa sama saya perlu memastikan setiap pemain cergas dan bebas daripada kecederaan,” katanya.
Jurulatih dari Jepun itu menegaskan, Selangor kini hanya bergantung kepada 23 pemain yang perlu mengharungi jadual padat musim ini, sekali gus menuntut pengurusan strategi lebih teliti berikutan tidak mampu melakukan penggiliran secara kerap.
Justeru, beliau menekankan kepentingan memastikan setiap pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik dan bebas daripada kecederaan.
“Fokus kami bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi juga menjaga kelangsungan skuad sepanjang musim. Dengan hanya 23 pemain, saya perlu bijak menguruskan bebanan jadual padat ini,” jelasnya.
Bagi Kinoshi, tiga mata malam ini bukan sekadar penting dari sudut kedudukan liga, tetapi juga mampu memulihkan keyakinan pasukan selepas dikecewakan Bangkok United. Kemenangan diyakini menjadi tonik terbaik untuk kembali meraih momentum dalam semua pertandingan.
KAPSYEN:, Katsuhito Kinoshi