PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) berkongsi mata dengan Buriram United selepas terikat 1-1 pada aksi sulung Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Buriram, sebentar tadi.
Beraksi di laman lawan, skuad Gergasi Merah dilihat cepat menyesuaikan diri untuk mengimbangi kekuatan juara bertahan itu.
Buktinya, anak buah Katsuhito Kinoshi hampir membuka tirai jaringan pada minit kelima namun percubaan bola mati Zach Clough bola hanya sedikit tersasar.
Noor Al-Rawabdeh juga memiliki peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring namun percubaan ditampan keluar oleh pertahanan tuan rumah.
Buriram turut mencipta peluang untuk menjaringkan gol tetapi tandukan Sandy Henny Walsh berjaya dikeluarkan Majed Jamil Abualnadi pada minit ke-28.
Gol yang dinantikan Selangor akhirnya muncul pada minit ke-38 menerusi umpanan Nooa Laine yang disudahkan dengan rembatan kencang Chigor Moraes bagi menggegar jaring belakang dikawal oleh penjaga gol tuan rumah, Chatchai Bootprom.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga babak pertama berakhir untuk meletakkan Selangor memasuki ke bilik persalinan dengan sedikit kelegaan.
Bersambung babak kedua, Selangor dilihat lebih banyak bertahan hingga menyaksikan barisan pertahanan terpaksa bekerja keras terutama penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang diasak bertali arus.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan namun percubaan Guilherme Bissoli berjaya ditampan menggunakan kaki Kalamullah pada minit ke-51.
Buriram terus melakukan serangan bertali arus namun kesemua percubaan mereka dinafikan Kalamullah, selain percubaan Robert Zulj sekadar singgah di tiang kiri gawang Selangor.
Usaha Buriram mencari gol penyamaan akhirnya hadir pada minit ke-95 menerusi tandukan Zulj berpunca daripada sepakan penjuru.
Kedudukan itu kekal hingga pengadil perlawanan meniup wisel penamat sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.-UTUSAN