Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera menyita iklan fizikal berkaitan produk rokok elektronik atau vape di negeri tersebut.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan rokok elektronik di Selangor yang dipengerusikannya pada 16 Mei.
“Tindakan ini selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamaliah berkata mesyuarat itu turut meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan rokok elektronik, termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan serta pemantauan.
“Isu penjualan secara dalam talian turut dibincangkan memandangkan ia sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama kepada golongan remaja untuk mendapatkan produk itu,” katanya.
Jamaliah berkata terdapat keperluan mendesak untuk tindakan proaktif berkaitan vape di peringkat negeri, dengan mengambil kira Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 yang menganggarkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna rokok elektronik.
Susulan itu dia berkata kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengadakan mesyuarat lanjut bagi membincangkan pilihan dasar yang wajar dipertimbangkan sebelum cadangan akhir dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan.
Jamaliah berkata langkah itu bagi memastikan setiap dasar diperkenalkan kerajaan negeri mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan dalam memastikan tindakan diambil benar-benar berkesan serta mampan,” katanya.
-Bernama